Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Monday, December 12, 2011


Kepada Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin –rahimahullah- pernah ditanyakan, “Bagaimanakah kaedah (dhobith) mengangkat tangan ketika berdo’a?”

Beliau –rahimahullah- menjawab dengan rincian yang amat bagus :

Mengangkat tangan ketika berdo’a ada tiga keadaan :

Pertama, ada dalil yang menunjukkan untuk mengangkat tangan. Kondisi ini menunjukkan dianjurkannya mengangkat tangan ketika berdo’a. Contohnya adalah ketika berdo’a setelah solat istisqo’ (solat minta diturunkannya hujan). Jika seseorang meminta hujan pada khutbah jum’at atau khutbah solat istisqo’, maka dia hendaknya mengangkat tangan.

Juga contoh hal ini adalah mengangkat tangan ketika berdo’a di bukit Sofa dan Marwah, berdo’a di Arafah, berdo’a ketika melempar Jumrah Al Ula pada hari-hari tasyriq dan juga Jumrah Al Wustho.

Oleh kerana itu, ketika menunaikan haji ada enam tempat untuk mengangkat tangan : (1) ketika berada di Sofa, (2) ketika berada di Marwah, (3) ketika berada di Arofah, (4) ketika berada di Muzdalifah setelah solat subuh, (5) di Jumrah Al Ula di hari-hari tasyriq, (6) di Jumrah Al Wustho di hari-hari tasyriq.

Kondisi semacam ini tidak diragukan lagi bagi seseorang untuk mengangkat tangan ketika itu kerana adanya petunjuk dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengenai hal ini.

Kedua, tidak ada dalil yang menunjukkan untuk mengangkat tangan. Contohnya adalah do’a di dalam solat. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa membaca do’a istiftah : Allahumma ba’id baini wa baina khothoyaya kama ba’adta bainal masyriqi wal maghribi …; juga membaca do’a di antara dua sujud : Robbighfirli; juga berdo’a ketika tasyahud akhir; namun beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak mengangkat tangan pada semua kondisi ini. Begitu juga dalam khutbah Jum’at. Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam berdo’a namun beliau tidak mengangkat kedua tangannya kecuali jika meminta hujan (ketika khutbah tersebut).

Barangsiapa mengangkat tangan dalam kondisi-kondisi ini dan semacamnya, maka dia telah terjatuh dalam perkara yang diada-adakan dalam agama (alias bid’ah) dan melakukan semacam ini terlarang.

Ketiga, tidak ada dalil yang menunjukkan mengangkat tangan ataupun tidak. Maka hukum asalnya adalah mengangkat tangan kerana ini termasuk adab dalam berdo’a. Hal ini berdasarkan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

“Sesunguhnya Allah Maha Pemalu lagi Maha Mulia. Dia malu terhadap hamba-Nya, jika hamba tersebut menengadahkan tangan kepada-Nya, lalu kedua tangan tersebut kembali dalam keadaan hampa.. ” [1]

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam juga pernah menceritakan seseorang yang menempuh perjalanan jauh dalam keadaan kusut dan penuh debu, lalu dia mengangkat kedua tangannya ke langit seraya mengatakan : “Wahai Rabbku! Wahai Rabbku!” Padahal makanannya itu haram, pakaiannya haram, dan dia dikenyangkan dari yang haram. Bagaimana mungkin do’anya bisa dikabulkan? [2]

Dalam hadits ini, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjadikan mengangkat kedua tangan sebagai sebab terkabulnya do’a.

Inilah pembagian keadaan dalam mengangkat tangan ketika berdo’a. Namun, ketika keadaan kita mengangkat tangan, apakah setelah memanjatkan do’a diperbolehkan mengusap wajah dengan kedua tangan?

Yang lebih tepat adalah tidak mengusap wajah dengan kedua telapak tangan sehabis berdo’a kerana hadits yang menjelaskan hal ini adalah hadits yang lemah (dho’if) [3] yang tidak dapat dijadikan hujjah (dalil). Apabila kita melihat seseorang membasuh wajahnya dengan kedua tangannya setelah selesai berdo’a, maka hendaknya kita jelaskan padanya bahwa yang termasuk petunjuk Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah tidak mengusap wajah setelah selesai berdo’a kerana hadits yang menjelaskan hal ini adalah hadits yang lemah (dho’if). [Liqo’at Al Bab Al Maftuh, Syaikh Muhammad bin Sholih Al 'Utsaimin, kaset no. 51]

Nota kaki:

[1] Lafazh hadits yang dimaksudkan adalah :

إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ‏‎ ‎وَتَعَالَى حَيِىٌّ كَرِيمٌ‏‎ ‎يَسْتَحْيِى مِنْ عَبْدِهِ إِذَا‎ ‎رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ‏‎ ‎يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

“Sesunguhnya Rabb kalian tabaroka wa ta’ala Maha Pemalu lagi Maha Mulia. Dia malu terhadap hamba-Nya, jika hamba tersebut menengadahkan tangan kepada-Nya, lalu kedua tangan tersebut kembali dalam keadaan hampa.” (HR. Abu Daud no. 1488 dan At Tirmidzi no. 3556. Syaikh Al Albani dalam Shohih wa Dho’if Sunan Abi Daud mengatakan bahwa hadits ini shohih)

[2] HR. Muslim no. 1015.

[3] Hadits yang dimaksudkan adalah dari Umar bin Khothob radhiyallahu ‘anhu, beliau mengatakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله‎ ‎عليه وسلم- إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ‏‎ ‎فِى الدُّعَاءِ لَمْ يَحُطَّهُمَا‎ ‎حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ.

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam apabila mengangkat tangan ketika berdo’a, beliau tidak menurunkannya hingga beliau mengusap wajahnya dengan kedua tangannya.”

Mengenai hadits ini, seorang pakar hadits terkemuka yaitu Abu Zur’ah mengatakan, “Hadits ini adalah hadits mungkar. Saya takut hadits ini tidak ada asalnya.” (Lihat ‘Ilalul Hadits, hal. 156, Asy Syamilah)

Syaikh Al Albani dalam Irwa’ul Gholil no. 433 mengatakan bahwa hadits ini dho’if (lemah).

Posted on Monday, December 12, 2011 by Qalam Sufi

No comments

Tuesday, February 15, 2011



Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Waktu Subuh

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.
Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.
Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.

Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.


Waktu Zohor

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.

Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?


Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).

Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.


Waktu Magrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.

Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.

Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.


Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.

Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.

Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.

Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.


Qiamullail

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Wallahualam.


- Artikel iluvislam.com

Posted on Tuesday, February 15, 2011 by Qalam Sufi

1 comment

Wednesday, December 29, 2010

 
Isu ini timbul ekoran daripada pertanyaan orang ramai kepada JAKIM mengenai hukum sembahyang jamak kerana menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik seperti rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang, rawatan penyakit jantung, lumpuh dan seumpamanya yang telah mendapat pengesahan daripada doktor-doktor pakar daripada hospital-hospital kerajaan ataupun swasta.

Penggunaan alat-alat semasa dan sesudah rawatan homodialisis.

(i)   Semasa Rawatan

Setiap pesakit dikehendaki menjalani pemeriksaan tekanan darah sebelum, semasa dan sesudah rawatan sekurang-kurangnya 5 kali menggunakan alat khas tekanan darah tinggi. Kemudian ditimbang berat badan satu kali sebelum dan sekali selepas rawatan untuk mengetahui berat sebenar. Bagi timbangan berat sebelum rawatan untuk mengetahui kedudukan berat air yang ada di dalam badan dan timbangan kedua selepas rawatan untuk mengetahui berapakah sudah dikurangkan air dalam badan.

Semua bacaan untuk timbangan berat ini dicatat dalam buku rekod peribadi. Kemudian jururawat akan membuat suntikan di dua tempat di lengan - satu untuk pengeluaran darah dan satu untuk memasukkan semula darah. Setelah suntikan dibuat, jarum itu tetap berada di lengan pesakit dari awal hingga ke akhir masa rawatan sekurang-kurangnya 4 jam atau paling lama 5 jam. Aliran darah keluar melalui bawah lengan suntikan bahagian bawah memasuki tiub yang digunakan untuk masuk ke dalam satu tabung penapis sebagai ganti fungsi buah pinggang - untuk menapis segala darah kotor dan lebihan air yang berada dalam darah menggunakan mesin khas. Kemudian darah yang bersih disalurkan semula ke lengan bahagian atas melalui jarum yang tersedia.

(ii)  Selepas Rawatan

Setelah cukup masa rawatan sekurang-kurangnya 4 jam tadi, jururawat akan membuka tampalan serta jarum berkenaan dan diletakkan tampalan lain dengan menggunakan sejenis kain yang dikeraskan di bahagian liang suntikan supaya
menghalang darah keluar kerana ketika itu jika tidak dibuat demikian, darah akan terpancut dengan kuat (dalam tempoh 1 jam). 

Liang suntikan hanya boleh dibuka dalam tempoh lebih 40 - 60 minit kerana di waktu itulah bagi pesakit tertentu liang suntikan itu telah tertutup oleh darah yang beku, tetapi bagi sesetengah pesakit pula lebih daripada 1 jam, ini bergantung kepada kecairan atau kepekatan darah seseorang.

Permasalahan/Persoalan

Bolehkah orang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya menunaikan sembahyang Zohor dengan Asar - Jamak Takhir disebabkan
oleh rawatan berkenaan?

(i) Bagi pesakit yang mengambil syif rawatan pertama iaitu jam 6.00 pagi - 12.00 tengahari, dalam tempoh rawatan ini tidak menimbulkan masalah dari segi waktu sembahyang fardhu kerana rawatan itu telah selesai sebelum waktu Zohor.

(ii) Bagi pesakit yang mengambil syif rawatan kedua iaitu jam 11.00 pagi - 6.00 petang, menimbulkan implikasi hukum mengenai sembahyang. Ini menyebabkan waktu sembahyang Zohor luput. Sementara itu sekiranya pesakit mengambil wuduk sebelum rawatan dibuat, ia boleh membatalkan wuduk disebabkan persentuhan dengan jururawat wanita bagi pesakit lelaki atau disebabkan keluar angin daripada dubur.

(iii) Bagi mereka yang mengambil syif rawatan ketiga iaitu jam 3.00 petang - 9.00 malam, menimbulkan masalah kerana melibatkan sembahyang Asar dan Maghrib. Apakah boleh bagi pesakit berkenaan sembahyang Jamak Takdim - Sembahyang Zohor dan Asar dan Jamak Takhir - Sembahyang Maghrib dan Isyak?    

                 
Asas-asas Pertimbangan

 Mengikut kitab Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam oleh Fadhilah Syeikh Atiyyah Saqr, juzu’ 3 hal. 421 - 422 menyatakan mengenai pendapat-pendapat ulama’ bagi empat mazhab.

(i) Menurut pendapat Mazhab Maliki, harus jamak sembahyang ketika bermusafir jauh atau dekat. Begitu juga bagi orang yang sakit yang pitam atau sakit di kepala yang boleh menghalangnya daripada menunaikan sembahyang ketika masuk waktu kedua, maka harus baginya mentakdimkan sembahyang tersebut. 

Begitulah juga harus jamak sembahyang kerana hujan lebat, ribut pasir, kegelapan malam, maka harus dijamak secara takdim sembahyang maghrib dan
isyak dengan syarat sembahyang tersebut dilakukan di masjid secara berjamaah.

(ii) Mengikut pendapat Mazhab Syafie, harus jamak sembahyang kerana musafir yang lama perjalanannya dengan sebab hujan secara jamak takdim sahaja, apabila dilakukan sembahyang itu secara berjemaah di masjid yang jauh daripada rumahnya, mengelakkan kesusahan untuk pergi ke sana, maka ia harus menjamakkan sembahyang walaupun tidak kerana hujan dan harus jamak sembahyang sama ada takdim atau takhir bagi orang yang sakit.

(iii) Sementara Mazhab Hanafi pula tidak harus jamak sembahyang secara takdim kecuali bagi orang yang mengerjakan haji di Arafah dengan syarat berjamaah berserta Imam atau naibnya dan tidak harus mentahlulkan sembahyang kecuali di Muzdalifah bagi orang yang mengerjakan haji, maka ia boleh sembahyang Asar dalam waktu Zohor di Arafah dan sembahyang Maghrib dalam waktu Isyak di Muzdalifah.

(iv) Mengikut Mazhab Hambali, harus bagi orang yang sakit menjarakkan sembahyang ketika timbulnya kesusahan mendirikan sembahyang apabila masuknya waktu. Harus juga menjamakkan sembahyang bagi orang yang lemah daripada mengetahui awal waktu sembahyang bagi orang yang buta dan begitu juga bagi orang yang takut berlaku kemudaratan ke atas dirinya, harta atau maruahnya atau takut kemudaratan yang bersangkutan dengan kehidupannya dengan meninggalkan sembahyang dan yang lebih utamanya ialah memilih yang paling mudah ke atasnya sama ada untuk jamak takdim atau takhir dengan mematuhi syarat-syarat takdim dan takhir seperti tertib, niat jamak dan berterusan uzur.                                                                      
                                                                                                                                                                                                                         
Mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa Kali Ke 14 pada 22 – 23 Oktober 1985 menyatakan bahawa dalam Islam uzur syarie adalah diertikan seperti berikut:

i) Keuzuran yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya seperti penyakit kronik, menghadapi hujan, ribut dan taufan.

(ii) Keuzuran yang bersabit dengan keluarga atau saudara yang sakit tenat yang tiada harapan untuk hidup yang perlu diziarahi.

(iii) Keuzuran berkenaan dengan berkemungkinan berlaku kerosakan bahan perusahaan yang ditinggalkan semasa menunaikan fardhu Jumaat. Daripada kesimpulan di atas dapatlah dirumuskan bahawa menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik seperti hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamnya adalah dikira uzur syarie yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya.                                                    


Syor

Berdasarkan fakta-fakta yang disebutkan di atas, maka dengan ini dipohon Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor memutuskan “Hukum Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik seperti Hemodialisis dan seumpamanya dengan menjamak sembahyang fardhu dan keputusan ini hanya tertentu kepada orang yang mengalami penyakit berkenaan sahaja.”


Keputusan

ENAKMEN PENTADBIRAN PERUNDANGAN ISLAM 1989 FATWA TENTANG HUKUM SEMBAHYANG JAMAK KERANA MENJALANI RAWATAN PENYAKIT-PENYAKIT KRONIK Dl HOSPITAL KERAJAAN DAN SWASTA

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 31(1) dan seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Mufti bagi Negeri Selangor, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’, membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.


Jadual

(1) Harus menjamakkan sembahyang kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama.

(2) Pekerja-pekerja yang tidak dapat meninggalkan tugasnya kerana sebab-sebab
yang tidak dapat dielakkan seperti doktor yang bertugas di wad ICU dan  seumpamanya yang terpaksa bertugas tanpa had masa. Keharusan menjamakkan sembahyang dikhususkan pada masa berlaku darurat sahaja, tidak terpakai pada masa sihat atau hari yang tiada rawatan atau ketika tidak bertugas.

Dibuat pada 16 Januari 2001.
[MUFTI Sel. 500-2; PU. Sel. AGM/0007 Jld. 2]

DATO’ HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID,
Dato’ Seri Utama Diraja,
Mufti Negeri Selangor
                                                                                                                                         

Posted on Wednesday, December 29, 2010 by Qalam Sufi

No comments

Monday, June 21, 2010


Antara gangguan itu adalah:

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram

Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.

Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.

Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.

“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT menghilangkan gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan

Abu Hurairah berkata, “Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.

Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.

Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.

Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat

Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dari dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk

Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat

Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10) Terasa ingin buang angin atau buang air

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).

Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.

Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk juga berjihad melawan nafsu dan perasaan malas. InsyaAllah lama kelamaan solat yang kita kerjakan dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa putus asa akan dibalas juga oleh Allah Yang Maha Adil.

Wallahu'alam....

sumber: pondok al-bakriah

Posted on Monday, June 21, 2010 by Qalam Sufi

No comments