Wednesday, July 27, 2011


Azan dalam Islam bermaksud memaklumkan. Ia sinonim dengan bilal atau muazzin yang bertujuan untuk mengajak sekalian umat Islam mengerjakan Rukun Islam kedua.
Ia juga sebagai tanda masuknya waktu solat dan beralihnya peredaran masa daripada subuh, tengahari, petang, malam hinggalah ke awal pagi keesokan harinya.



Namun, cuba kita tanyakan diri, apakah yang kita lakukan sebaik sahaja terdengarnya azan?



Adakah kita mendiamkan diri sambil menghayati setiap kalimah azan yang dilaungkan oleh bilal dan menjawabnya satu persatu?



Atau terus bangun untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu' serta bersedia untuk mengerjakan solat?



Mungkinkah hanya membiarkan seruan azan itu berlalu begitu sahaja tanpa menghiraukannya?



Bagaimana pula dengan azan melalui corong radio mahupun televisyen, berapa ramai yang terus menghayati dan berapa kerat pula yang terus menukar siaran sebaik sahaja azan ke udara?



Mari kita berkongsi sedikit waktu untuk menyelidiki apa yang tersirat di sebalik makna panggilan azan itu melalui makna dalam bahasa.



ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar



Sebutan empat kali "ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar" ini menunjukkan betapa Agungnya ALLAH SWT, lantas menyedarkan kita betapa kebesaranNya mengatasi segala apa yang ada di langit dan di bumi.



Waktu ini seharusnya fikiran kita difokuskan pada fitrah kejadian seorang manusia sebagai khalifah. Tinggalkan segala hal duniawi dan terus menunaikan kewajipan untuk sujud kepadaNya tanpa sebarang alasan.



Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH

Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH



Sebutan sebanyak dua kali "Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH" yang memberi kesaksian tentang sifat keEsaan Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH.



Lantas menyedarkan kita tentang syahadah kita. Sesungguhnya dengan solatlah syahadah kita terjaga. Dari solat yang khusyuklah syahadah memelihara kita. Lalu apakah alasan kita untuk mengelak dari melakukan hal yang paling utama dari segala perkara yang utama di dunia ini?



Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH

Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH



Sebutan sebanyak dua kali "Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH" ini memberi kesaksian tentang kerasulan Rasulullah saw. Mengingatkan kita betapa Nabi Muhammad saw. itu sebenar-benarnya utusan dan kekasih ALLAH SWT.



Selepas solat sebaiknya berselawatlah kepada Rasul Junjungan kita dan para keluarga mahupun sahabat Baginda saw..



Pengorbanan dan akhlak Nabi saw. menjadi contoh bagi sekalian umat. Betapa sayangnya Nabi pada umat Baginda sehingga nafas terakhirnya diakhiri dengan kalimah "ummati..ummati..".



Syafaatnya antara rahmat yang diberi pada umatnya. Lantas ringankanlah diri berselawat kepadanya. Cinta kita pada Baginda saw. masih tidak setanding cinta Baginda saw. pada kita.




Marilah mendirikan solat

Marilah mendirikan solat



Sebutan dua kali "Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH dan Marilah mendirikan solat" adalah mengajak untuk menunaikan solat.



Sebaiknya solat itu adalah solat berjemaah. Solat adalah penghubung seorang hamba dengan Tuhannya.



Sudah ditetapkan ada lima waktu solat fardhu perlu ditunaikan. Seandainya kita mengelak dengan pelbagai alasan  sekalipun ia tetap dikira sebagai 'hutang' di sisi ALLAH.



Kita sebagai hamba perlu melunaskan kewajipan sebelum ALLAH swt. melunaskan untuk kita (Azab Neraka).



Bilakah agaknya kita betul-betul bersedia untuk menunaikan solat dengan sempurna?



Adakah kita mempunyai waktu yang cukup untuk menggantikan segala solat yang telah tertinggal?



Sesungguhnya hari ini tidak akan sama dengan semalam dan jauh berbeza dengan esok. Tidak sama pagi yang ada matahari dan malam yang bertemankan bulan.



Lalu solatlah diawal waktu dan gantikanlah solat yang telah tertinggal.



Marilah menuju kejayaan

Marilah menuju kejayaan



Sebutan dua kali "Marilah menuju kejayaan" yang sama banyak dengan panggilan solat.



Sesungguhnya orang yang menang dan berjaya di sisi ALLAH ialah orang yang tetap mengerjakan solat dengan hati yang khusyuk.



Ini juga menunjukkan Islam menggalakkan umatnya untuk mencapai kejayaan yang pasti bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat sana.



Kejayaan yang sebenar-benarnya bukan sahaja dari berapa banyak harta kita, tetapi betapa kita menjagaNya di hati kita dengan menunaikan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.



Sebaik-baiknya tinggalkan dahulu kerja mencari harta untuk dunia untuk mengerjakan solat sebagai bekalan di akhirat sana sejurus sahaja seruan azan dilaungkan.



ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar

Tiada Tuhan selain ALLAH



Kita diingatkan kita sekali lagi betapa besar dan agungnya ALLAH SWT. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH. Manusia itu mudah lupa dan lemah, tetapi ALLAH itulah sumber kekuatan kita.



Solat yang sempurna dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan cela.



Kalaulah diri mudah mengikut ajakan teman-teman walaupun pujukan tanpa sebarang alat pembesar. Kenapa azan yang dilaungkan dengan lantang langsung tidak terendah oleh akal dan fikiran apalagi jasad?



Walhal, Syaitan sekalipun akan berlari bertempiaran tatkala terdengar laungan azan menunjukkan betapa azan ini mampu memberi rasa GENTAR pada syaitan.



Adakah kita ingin menjadi lebih teruk daripada makhluk tersebut, tiadakah rasa gentar dan takut dalam hati kita tatkala nama ALLAH dilaungkan?



Ingatlah, selagi kita terdengar kalimah ALLAH dari azan yang dilaungkan, persiapkan diri untuk solat.



Kerana kita tidak tahu sampai bilakah lagi laungan ini akan kedengaran di cuping telinga.



Andai panggilan menghadapNya sudah tiba, sudah tentu kita tidak mampu menangguhkannya apalagi mengelak.



- Artikel iluvislam.com

Posted on Wednesday, July 27, 2011 by Qalam Sufi

1 comment

    



Kamu patut tahu bahawa manusia akan termasuk kepada salah satu daripada dua golongan, golongan pertama ialah yang berada dalam kedamaian, keimanan, bahagia dalam melakukan ketaatan kepada Allah, sementara golongan kedua berada dalam keadaan tidak selamat, keraguan dan kerisauan dalam keingkaran terhadap peraturan Tuhan. Kedua-dua nilai, ketaatan dan keingkaran, ada di dalam diri seseorang. Jika kesucian, kebaikan dan keikhlasan lebih menguasai, sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar menjadi suasana kerohanian dan bahagian diri yang ingkar akan dikalahkan oleh bahagian diri yang baik. Sebaliknya jika seseorang mengikuti hawa nafsu yang rendah dan kesenangan ego dirinya, sifat-sifat ingkar akan menguasai bahagian diri yang satu lagi untuk menjadikannya ingkar dan jahat. Jika kedua-dua sifat yang berlawanan itu sama-sama kuat diharapkan yang baik itu boleh menang, sebagaimana yang dijanjikan:

"Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya (ganjaran) sepuluh kali ganda, dan barangsiapa kerjakan kejahatan maka Tidaklah dibalas dia melainkan sebanyak (kejahatannya) itu, dan mereka tidak akan dianiayai. (Surah An'aam, ayat 160).


Dan jika Allah kehendaki ditambah-Nya lagi ganjaran atas kebaikan. Namun orang yang kebajikan dan kejahatannya sama banyak mesti lulus perbicaraan pada hari pembalasan. Orang yang berjaya mengubah sifat mementingkan diri kepada tidak mementingkan diri, hawa nafsu yang rendah kepada cita-cita kerohanian, baginya tiada hisab, tiada catatan akan diberikan kepadanya. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru hara hari kiamat.


"Oleh sebab itu barangsiapa berat (timbangan) kebaikannya maka dia di dalam kehidupan (akhirat) yang sentosa". (Surah Qari'ah, ayat 6 & 7).


Orang yang kejahatannya lebih berat daripada kebaikannya akan dihukum menurut kadar kejahatannya. Kemudian dia dikeluarkan daripada neraka, jika dia beriman, dan akan masuk syurga.


Taat dan ingkar bermakna baik dan jahat. Kedua-dua ini ada dalam diri seseorang manusia. Yang baik boleh berubah menjadi jahat dan yang jahat boleh berubah menjadi baik. Nabi s.a.w bersabda, "Orang yang kebaikan menguasainya menemui keselamatan, keimanan dan kegembiraan dan menjadi baik. Orang yang kejahatan lebih menguasai kebaikan, dia menjadi ingkar dan jahat. Orang yang menyedari kesalahannya dan bertaubat dan mengubah haluannya akan mendapati suasana ingkar akan bertukar menjadi taat dan beribadat".



Telah menjadi ketentuan bahawa baik dan jahat, kehidupan yang diberkati bagi orang yang taat dan kesengsaraan bagi yang ingkar, adalah keadaan yang setiap orang dilahirkan dengannya. Kedua-duanya tersembunyi di dalam bakat atau keupayaan seseorang. Nabi s.a.w bersabda, "Orang yang bertuah menjadi baik adalah baik ketika di dalam kandungan ibunya, dan orang berdosa yang jahat adalah pendosa di dalam kandungan ibunya". Begitulah keadaannya dan tiada siapa yang berhak berbincang mengenainya. Urusan takdir bukan untuk dibincangkan. Jika dibiarkan perbincangan demikian ia akan membawa kepada bidaah dan kekufuran.



Lagipun tiada siapa boleh menjadikan takdir sebagai alasan untuk membuang segala ikhtiar, semua perbuatan baik. Seseorang itu tidak boleh mengatakan, ‘Jika aku ditakdirkan menjadi baik maka aku bersusah payah membuat kebaikan sedangkan aku sudahpun diberkati'. Atau berkata, ‘Jika aku sudah ditakdirkan menjadi jahat apa gunanya aku berbuat kebaikan'. Jelas sekali pendirian demikian tidak benar. Tidak wajar mengatakan, ‘Jika keadaan aku sudah ditakdirkan pada azali apa untung atau rugi yang aku harapkan dengan usahaku sekarang'. Contoh yang baik diberikan kepada kita adalah perbandingan di antara Adam a.s dengan iblis yang dilaknat. Iblis meletakkan kesalahan kepada takdir, yang menyebabkan dia menjadi derhaka, maka dia menjadi kafir dan dibuang jauh daripada keampunan dan kehampiran Tuhan. Adam a.s mengakui kesilapannya dan memohon keampunan, menerima keampunan dari Allah dan diselamatkan.


Menjadi kewajipan bagi orang Islam yang beriman untuk tidak cuba memahami sebab-sebab yang tersimpan di dalam takdir. Orang cuba berbuat demikian akan menjadi keliru dan tidak mendapat apa-apa melainkan keraguan. Bahkan dia mungkin kehilangan keyakinan. Orang yang beriman mestilah mempercayai kepada kebijaksanaan Allah yang mutlak. Segala yang manusia lihat terjadi pada dirinya di dalam dunia ini mesti ada alasan tetapi alasan itu bukan untuk difahami melalui lojik manusia kerana ia berdasarkan kebijaksanaan Tuhan.


 
Di dalam kehidupan ini bila kamu temui pencacian terhadap Tuhan, kemunafikan, keingkaran, penipuan dan lain-lain yang jahat, jangan biarkan perkara-perkara tersebut menggoncangkan iman kamu. Ketahuilah Allah Yang Maha Tinggi dengan kebijaksanaan mutlak bertanggungjawab kepada semua perkara dan Dia lakukan apa yang kelihatan sebagai tidak baik sebagai menyatakan kekuasaan-Nya yang mutlak. Penzahiran kekuasaan yang demikian mungkin menyebabkan ada orang yang tidak tertahan dan menganggapnya sebagai tidak baik tetapi ada rahsia besar di sebaliknya yang tiada makhluk yang tahu melainkan Rasulullah s.a.w.


 
Ada kisah orang arif berdoa kepada Tuhannya, "Wahai Yang Maha Suci, semua telah diatur oleh Engkau. Takdirku adalah kepunyaan-Mu. Ilmu yang Engkau letakkan padaku adalah milik-Mu". Ketika itu dia mendengar jawapan tanpa suara tanpa sepatah perkataan, keluar dari dalam dirinya mengatakan, "Wahai hamba-Ku. Segala yang engkau katakan adalah kepunyaan Yang Maha Esa dan dalam keesaan. Ia bukan milik hamba-hamba". Hamba yang beriman itu berkata, "Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku, aku bersalah, aku berdosa". Selepas pengakuan itu sekali lagi dia mendengar dari dalam dirinya, "Dan Aku mempunyai keampunan terhadap dirimu. Aku telah hapuskan kesalahan-kesalahan kamu, Aku telah ampun kamu".


Biar mereka yang beriman tahu dan bersyukur yang segala kebaikan yang mereka lakukan bukanlah dari mereka tetapi melalui mereka, kejayaan datangnya dari Pencipta. Bila mereka bersalah biar mereka tahu bahawa kesalahan mereka datangnya dari diri mereka sendiri, kepunyaan mereka dan mereka boleh bertaubat. Kesalahan datangnya dari keegoan mereka yang batil. Jika kamu memahami ini dan mengingatinya kamu termasuk ke dalam golongan yang disebut Allah:


"Dan yang apabila telah berbuat kejelikan atau menganiayai diri-diri mereka maka mereka ingat kepada Allah dan mereka minta diampunkan dosa-dosa mereka - bukankah tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah? Dan mereka tidak berkekalan di atas dosa yang mereka kerjakan, dan mereka tahu. Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, syurga-syurga yang mengalir padanya sungai-sungai, mereka akan kekal padanya, dan alangkah baiknya balasan bagi orang-orang yang beramal". (Surah Ali Imraan, ayat 135 & 136).


Adalah baik bagi orang yang beriman mengakui yang dirinya sendirilah punca semua kesalahan dan dosanya. Itulah yang akan menyelamatkannya. Itu lebih baik dan lebih benar daripada meletakkan kesalahan dirinya kepada Yang Maha Perkasa, Maha Kuasa, Pencipta semua perkara.



Bila Nabi s.a.w bersabda, "Telah diketahui bila seseorang itu berada di dalam kandungan ibunya samada dia akan menjadi baik atau pendosa" baginda maksudkan ‘dalam kandungan ibu' itu adalah empat anasir yang melahirkan semua kekuatan atau tenaga dan kebolehan lahiriah. Dua daripada anasir tersebut adalah tanah dan air yang bertanggungjawab kepada pertumbuhan keyakinan dan pengetahuan, melahirkan kehidupan dan lahir dalam hati sebagai tawaduk (kerendahan diri). Dua anasir lain ialah api dan angin yang bertentangan dengan tanah dan air - membakar, membinasa, membunuh. Kudrat Tuhan yang menyatukan anasir-anasir yang berlawanan dan berbeza menjadi satu. Bagaimana air dan api boleh wujud bersama? Bagaimana cahaya dan kegelapan boleh terkandung di dalam awan?


"Dia yang mengunjukkan kepada kamu kilat untuk menakutkankan dan kerana harapan, dan Dia jadikan mega yang berat. Dan petir itu beribadat dengan memuji Tuhannya, dan malaikat juga, lantaran takut kepada-Nya, dan Dia kirim halilintar dan Dia kenakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki...". (Surah ar-Ra'd, ayat 12 & 13).


Satu hari wali Allah Yahya bin Mua'adh ar-Razi ditanya, "Bagaimana mengenali Allah?' Dia menjawab, "Melalui gabungan yang bertentangan".


Pertentangan termasuk pada, dan sebenarnya keperluan bagi, memahami sifat-sifat Allah. Dengan menghadapkan diri kepada hakikat Ilahi seseorang menjadi cermin yang membalikkan kebenaran itu, juga sifat Yang Maha Perkasa dibalikkan. Dalam diri manusia terkandung seluruh alam maya. Sebab itu dia dipanggil penggabung yang banyak. Allah menciptakan manusia dengan dua tangan-Nya, tangan kemurahan-Nya dan tangan keperkasaan-Nya, keperkasaan dan kekuasaan. Jadi, manusia adalah cermin yang menunjukkan kedua-dua belah, yang kasar serta tebal dan yang halus serta indah.


Semua nama-nama Ilahi menyata pada manusia. Semua makhluk yang lain hanya sebelah sahaja. Allah menciptakan iblis dan keturunannya dengan sifat kekerasan-Nya. Dia ciptakan malaikat dengan sifat kemurahan-Nya. Nilai-nilai kesucian dan kebaktian yang berterusan terkandung dalam kejadian malaikat, sementara iblis dan keturunannya yang diciptakan dengan sifat kekerasan-Nya, mempunyai nilai kejahatan, kerana itu iblis menjadi takabur, dan bila Allah perintahkan sujud kepada Adam dia ingkar.


Oleh kerana manusia mempunyai kedua-dua ciri alam tinggi dan rendah, dan Allah telah memilih utusan-utusan dan wali-wali-Nya dari kalangan manusia, mereka tidak bebas daripada kesilapan. Nabi-nabi dipelihara dari dosa-dosa besar tetapi kesilapan kecil harus berlaku pada mereka. Wali-wali pula tidak terjamin dipelihara daripada dosa tetapi adalah dikatakan wali-wali itu hampir dengan Tuhan, mencapai makam kesempurnaan, mereka masuk ke bawah perlindungan Tuhan daripada dosa-dosa besar.


Syaqiq al-Baqi berkata, "Terdapat lima tanda kebenaran: perangai yang lemah lembut dan lembut hati, menangis kerana menyesal, mengasingkan diri dan tidak peduli tentang dunia, tidak bercita-cita tinggi, dan memiliki rasa hati (gerak hati atau intuisi). Tanda-tanda pendosa juga lima; keras hati, mempunyai mata yang tidak pernah menangis, mencintai dunia dan kesenangannya, bercita-cita tinggi, tidak bermalu dan tidak ada rasa atau gerak hati".


Nabi s.a.w meletakkan empat nilai pada orang yang baik-baik, "Boleh dipercayai dan menjaga apa yang diamanahkan kepadanya dan mengembalikannya. Menepati janji. Bercakap benar, tidak berbohong. Tidak kasar dalam perbincangan dan tidak menyakitkan hati orang lain". Baginda s.a.w juga memberitahu empat tanda pendosa, "Tidak boleh dipercayai dan merosakkan amanah yang diberikan kepadanya, mungkir janji, menipu, suka bertengkar, memaki apabila berbincang dan menyakitkan hati orang lain". Seterusnya pendosa tidak dapat memaafkan kawan-kawannya. Ini tanda tiada iman kerana kemaafan menjadi tanda utama orang beriman. Allah memerintahkan rasul-Nya:


"Berilah maaf, dan suruhlah mereka (manusia) berbuat kebaikan, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh". (Surah A'raaf, ayat 199).


Perintah ‘maafkanlah' bukan hanya tertuju kepada Rasulullah s.a.w seorang sahaja. Ia mengenai semua orang dan tentu sahaja termasuk mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w. Perkataan ‘maafkanlah' bermakna jadikan tabiat memafkan, jadikan sifat atau peribadi. Sesiapa yang ada sifat pemaaf menerima satu daripada nama-nama Allah - ar-Rauf - Yang Memaafkan.


"Barangsiapa memaafkan dan membereskan maka ganjarannya (adalah) atas (tanggungan) Allah". (Surah Syura, ayat 40).


Ketahuilah ketaatan kepada Allah bertukar menjadi ingkar, kejahatan dan dosa menjadi kebaikan, tidak berlaku dengan sendiri, tetapi dengan rangsangan, pengaruh, tindakan serta usaha diri sendiri. Nabi s.a.w bersabda, "Semua anak dilahirkan muslim. Ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi". Setiap orang ada bakat untuk menjadi baik atau jahat, boleh memiliki sifat-sifat baik dan buruk dalam masa yang sama. Jadi, adalah salah menghukum seseorang atau sesuatu sebagai sepenuhnya baik atau buruk. Tetapi benar jika dikatakan seseorang itu lebih banyak kebaikannya daripada kejahatannya ataupun sebaliknya.


Ini bukan bermakna manusia masuk syurga tanpa amalan baik, juga bukan dia dihantar ke neraka tanpa amalan buruk. Berfikir cara demikian bertentangan dengan prinsip Islam. Allah menjanjikan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih dan diancam-Nya orang-orang yang berdosa dengan azab neraka.


"Barangsiapa berbuat baik maka (adalah) untuk kebaikan dirinya dan barangsiapa berbuat jahat maka untuk dirinya. Kemudian kepada Tuhan kamulah kamu akan dikembalikan". (Surah Jaasiaah, ayat 15).


"Di hari ini dibalas setiap jiwa dengan apa yang dia telah usahakan. Tidak ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya Allah cepat menghitung". (Surah Mukmin, ayat 17).

 
"Kerana apa juga amal yang baik yang kamu sediakan untuk diri kamu nanti kamu dapati (ganjaran)nya di sisi Allah". (Surah Baqaraah, ayat 110).

Posted on Wednesday, July 27, 2011 by Qalam Sufi

No comments