Pada asasnya pemakaian gelang hukumnya harus sahaja, selagi mana ianya bertujuan untuk kebaikan dan tidak mendatangkan maksiat dan fitnah. Kebaikan yg dimaksudkan ini perlu dilihat dari beberapa sudut, siapa, apa, dimana, bagaimana dan niat pemakaiannya. Misalnya, kaum lelaki tak boleh pakai gelang kerana menyerupai wanita, hanya wanita ada keharusan. Keharusan ini pula bergantung kepada tujuan dan niat, misalnya orang melayu jarang memakai gelang di kaki sebaliknya orang India terutamanya di India gemar memakainya gelang berloceng yang disebut 'silver kolusu' (gelang kaki yg berloceng) dan metti (gelang jari kaki yang berloceng) dan merupakan suatu kebudayaan serta keperluan dalam masyarakat tersebut.

Contohnya, wanita yang mula mengandung digalakkan memakai gelang loceng di kali agar diketahui gerak-gerinya oleh isi rumah seperti ibu mertua & suaminya. Hatta jika wanita ini tidur lama pada posisi suatu bahagian akan diketahui dari ketidakhadiran bunyi loceng kaki tadi dalam tidur dan akan ditegur agar dia mengalih ke badan ke bahagian posisi yang lain. Ini bertujuan utk menjaga kesihatan bayi dalam kandungan. Jika didapati agak lama tidak kedengaran bunyi menunjukkan wanita tersebut berada berjauhan atau mungkin sudah jatuh pengsan dimana-mana penjuru rumah atau bilik, dan mereka akan mula mencari untuk memastikannya terutama jika suaminya tidak bersama-sama.


Pemakaian gelang loceng diluar rumah adalah suatu larangan dalam syarak bagi kaum hawa yang beriman kepada Allah s.w.t. Malah sepotong ayat al-Qur'an sendiri merujuk khusus tentang gelang kaki yang mengeluarkan bunyi-bunyian bila dihentak. Firman Allah yang bermaksud;


"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." 
[Quran An-Nur, 24: 31]




Wanita-wanita di zaman Jahiliyah mempunyai amalan memakai gelang kaki berloceng dan bilamana mereka berjalan di lorang-lorang, mereka akan menghentakkan kaki mereka agar bunyi gelang ini didengar oleh kaum lelaki, dengan itu ia menarik perhatian dan pandangan lelaki jatuh terhadapnya. Ia sekaligus merupakan babak-babak untuk "menghampiri zina" yang dilarang oleh Allah dalam firmannya;


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)" 
[Quran Surah Al-Israa',17: 32]



Seorang wanita muslimah yang berakhlak mulia dan beriman kepada Allah, tidak memakai gelang loceng bila keluar dari rumah atau bila berhadapan dengan lelaki ajnabi (yg halal kahwin), kerana bunyi-bunyian adalah halwa telinga yang memberi rangsangan shawat lelaki sebagaimana wangi-wangian menjadi halwa hidung bagi tujuan yang sama. Begitu juga mata dan anggota tubuh yang lain masing-masing berperanan besar dalam membangkitkan ghairah kaum adam.


Menurut Rasulullah saw;

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak keturunan Adam bagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian tanpa dimungkiri. Mata itu boleh berzina, dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu boleh berzina dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu boleh berzina dan zinanya adalah ayunan langkah. Tangan itu boleh berzina dan zinanya adalah sentuhan. Hati boleh berzina dengan keinginan dan angan-angan. Baik kemaluan membenarkan yang demikian itu atau mendustakannya.”
(H.R. Bukhari, Muslim, An-Nasai, dan Abu Dawud).


Dengan ini wanita muslimah yang beriman dilarang memperlihatkan 'perhiasan' bilamana keluar rumah, ini termasuklah perhiasan tubuh badan dan pemakaian pakaian yang menarik perhatian seperti pakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna, bertudung tapi baju dan seluar ketat, memakai wangi-wangian dll. Sebuah hadis lain menyebut mata boleh berzina bila seorang wanita memakai minyak wangi dan melalui khalayak ramai;


"Seorang wanita yang memakai minyak wangi lalu lewat(melalui) di tengah-tengah kaum (laki-laki) dengan maksud agar mereka menghidu bau harumnya maka wanita itu adalah pelacur" (HR. An-Nasaa'i).




Manakala bagi kaum lelaki, Nabi s.a.w. adalah sebagaimana menasihatinya kepada Ali r.a. “Wahai Ali, janganlah engkau susuli pandangan dengan pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bagianmu (dosa atasmu)” (H.R. Ahmad, Tirmidzi, dan Abu Dawud).



Maka dari sinilah timbul konsep menutup aurat yang sempurna bagi wanita termasuk pemakaian purdah/niqab dan sebagainya sebagaimana kesungguhan dan ketaatan mereka terhadap firman Allah dalam surah An-Nur ayat 31 di atas. Jadi dapatlah dibuat kesimpulan bahawa pemakaian perhiasan yang menarik perhatian lelaki termasuklah gelang berloceng adalah haram sekalipun kebanyakan kaum hawa mungkin suka dan gemar memakainya diluar rumah.


Nah, muslimah yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, bilamana mereka mengetahui akan larangan ini, adalah terlebih utama mereka bersegera menyahut panggilan iman dan segera kembali kepada al-Quran dan sunnah - dengan itu hiduplah nilai-nilai al-Quran dalam jiwa mereka sebagai bukti keimanan mereka terhadap al-Quran, insyaallah di akhirat nanti al-Quran akan menjadi pelindung seluruh anggota tubuh mereka dari bahang api neraka yang mana mereka menyerupai wanita-wanita pelacur lagi jahil yang mengaku beriman dimulut tetapi fasiq!