PERTAMA : Pendidikan Hati


Al-Jawab :


Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia. Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi hati. Imam Ghazali rah menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia. 


Rasulullah SAW bersabda:


“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan hak-hak Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempengaruhinya.Di dalam Al-Quran Al-Karim menyebut :


“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”

 (Surah Al-Zukhruf : 36)


Ternyata bahawa pendidikan hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan. Allah SWT telah memberi jaminan bahawa orang yang bersih hatinya ada disebut di dalam surah Asy-Syams: 9-10.

Zikir-zikir yang paling baik diamalkan ialah lafaz:

a. Subhanallah(Tasbih)
b. Alhamdulillah(Tahmid)
c. Allahuakhbar(Takbir)
d. Lailahaillallah(Tahlil)
e. Walahaulawalaquwatailla billahilaliyilazim(Hauqolah)


Dalam Islam. Lima zikir ini dikenali sebagai “Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh memberi pahala yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia untuk membentuk keinsafan dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua ibubapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada aktiviti terpuji yang lain.


KEDUA: Menghayati Ibadat Khusus


Al-Jawab :


Ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan melatih dan menggilap manusia supaya kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini, solat merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan akhlak manusia. Allah SWT telah berfirman:


“Sesungguhnya solat itu boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”

(Surah Al-Ankabut : 45)

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam solat.”

(Surah Al-Mu’minun : 1-2)



Kekeliruan :

Adakah solat yang sempurna membentuk akhlak yang mulia?


Al-Jawab :


Hujahan Yang Setimpal Dari Perilaku Rasulullah SAW dibawah menerangkan :

a. Rasulullah SAW menerima sendiri perintah solat fardhu ketika mengadap Allah pada masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan Malaikat Jibril.

b. Rasulullah SAW mensifatkan sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak menunaikan solat bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang itu Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya melakukan perbuatan keji tanpa segan silu.

c. Rasulullah SAW telah berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu dan melatih anak bersolat bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan enggan dan degil untuk mendirikan solat maka pukullah anak itu dengan tidak mencederakannya atau membahayakannya.

d. Solat adalah sebahagian daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat solat difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.


KETIGA : Pentingkan Qiyamullail


Al-Jawab :


Qiyamullail adalah merujuk kepada amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam atau seketika bangun malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti solat sunat, berzikir, membaca al-quran dan beristighfar. Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah SAW bersabda:


“Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan penyakit dari badan.”

 (Riwayat At-Tirmizi)


Melalui penjelasan di atas menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah membuat perjanjian dengan Allah untuk taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi. Allah SWT berfirman :

“ Bukankah Aku Tuhan kamu ? " Allah SWT menanyakan kepada sekalian roh.

Roh-roh manusia menjawab: “ Benar,(Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.”

(Surah Al-A’raf : 172)


Kesan dialog perjanjian ini ialah manusia wajib mentaati dan beribadat kepada Allah SWT, kerana itulah cara untuk meletakkan taraf manusia sebagai khalifah di muka bumi. Allah SWT  mensifatkan manusia yang tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah  SWT adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi, lagi difirmankan di dalam Al-Quran Al-Karim :


“Sesungguhnya sejahat (makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.”

(Surah Al- Anfal : 55)


KEEMPAT : Kemahiran Keibubapaan


Al-Jawab :


Al-Quran dan Al-Hadis telah memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah mengepalai urusan dalam rumahtangga(anak-anak). Sebagai pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:

Dalil Al-Quran dan Al-Hadis mengenai perkara keempat ini :

a. Ibubapa hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan berlapang dada memaafkan ahli keluarganya.

(Surah Al-Nahl : 90)


b. Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan digunakan, maka orang akan menjauhkan diri daripada kita.

(Surah 'Ali-imran : 159)


d. Rasulullah SAW bersabda “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.

(Riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)


Kekeliruan :

Hanya sekolah sahaja yang bertanggungjawab untuk membentuk peribadi baik kepada anak.

Al-Jawab :

Sebenarnya anak cenderung kepada melihat tingkah laku ibubapa sejak kecil.Ibu bapa seharusnya mempersiapkan diri untuk menjadi ibu bapa cemerlang, di bawah adalah tip-tip penting menjadi ibu bapa cemerlang.


a. Model Ibu bapa Yang Salih


Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan: "yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga lemah."


Ibu bapa yang salih adalah ibu bapa yang cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk mengadakan secara sendirian program bina insan dari masa ke semasa dalam rumahtangga. Adalah menjadi perkara yang rumit apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya barulah ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan. Untuk menjauhi anak menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa hendaklah membiasakan dan melatihkan anak mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti tolong menolong, beramah, jujur, menghormati ibu bapa atau orang tua, kasih sayang, berjimat cermat, malu, membuat kebajikan dan sebagainya.


b. Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang


Disiplin adalah merujuk kepada kaedah untuk melatih dan memastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa yang mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif.


c. Terima Anak Tanpa Syarat


Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah kaunseling itu boleh di buat dengan cara:

     i) Wujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa.

ii) Minta si anak memberi penerangan dan penjelasan tentang latarbelakang masalah yang berlaku.

iii) Mendengar dengan penuh minat penjelasan anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak.

iv) Meminta anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya dan terakhirnya

v) Jika didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan yang tidak diingini itu.


d. Memenuhi Masa Lapang Bersama Anak


Ketagih terhadap kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan disebalik itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan bermain bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi meraih kasih sayang. Apa yang penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang berjemaah, makan bersama, membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama, dan sebagainya. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa, kerana telah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.


e. Peka terhadap Pergerakan Anak


Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:

i. Rakan sebaya anak dan aktivitinya.

ii. Fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya.

iii. Tingkah laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya.

iv. Kemampuan anak membezakan perkara yang baik dan buruk.

v. Siapakah lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya dan terakhirnya

vi. Keupayaannya untuk berdikari.

vii. Alat komunikasi seperti komputer riba,telefon pintar kerap dipantau. Ibu bapa seharusnya lebih berkuasa memberi arahan kepada anak supaya meninggalkan gajet berbanding anak memberi arahan kepada ibu bapa mahukan gajet.

Kemahiran ini amat penting untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat jahat.


f. Jangan Salah Guna Kuasa


Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak memerlukan rasa selamat, aman dan rasa di terima dalam keluarga. Dalam pergaulan seharian, kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.


g. Kesabaran

Satu lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza. Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu tanda beriman.


Adakah silap memberi bimbingan dan kaunseling membawa mudarat kepada anak?


Al-Jawab :


Abu Said al-Khudri r.a meriwayatkan satu kisah yang diberitahu oleh Rasulullah SAW kepadanya. Diriwayatkan pada zaman dahulu kala terdapat seorang yang paling banyak dosanya kerana telah membunuh seramai 99 orang. Dia mahu bertaubat dan mencari seseorang yang boleh menerangkan hukum bolehkah dia bertaubat. Dia telah menemui seorang pendeta dan bertanya bahawa dia sudah membunuh manusia seramai 99 orang, bolehkah ia bertaubat?. Pendeta itu lantas menjawab ‘tidak boleh’. Maka pendeta itu dibunuhnya menjadikan mangsanya seramai 100 orang. Kemudian dia mencari lagi orang yang paling alim dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah membunuh 100 orang, maka masih bolehkah ia bertaubat. Orang alim itu menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong Anu kerana penduduknya menyembah Allah dan kamu sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali lagi ke kampong kamu kerana penduduknya jahat.”
Maka berangkatlah orang itu ke kampong Anu. Dipertengahan jalan dia meninggal dunia. Maka bertengkarlah dua Malaikat iaitu Malaikat Rahman dam Malaikat Azab sama ada untuk dikategorikan orang baik atau jahat. Malaikat Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat, manakala Malaikat Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian turun malaikat lain untuk menjadi orang tengah dengan cara mengukur jarak jauh kampung asalnya dengan kampung Anu. Keputusanya didapati orang itu mati berhampiran dengan kampung Anu. Maka ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.
Isu penting dalam kisah ini ialah:

a. Kesilapan memberi bimbingan akan mempengaruhi perasaan seseorang sehingga pendeta dibunuh kerana gagal menghilangkan gelojak emosinya atau perasaan marahnya;

b. Bergaul atau tinggal di kawasan orang-orang beriman cara berkesan memulihkan akhlak; dan

c. Taubat orang tersebut diterima Allah.


h. Hidayah Allah SWT


Hidayah Allah adalah juga faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh a.s. gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah SAW gagal memujuk bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

(Surah Al-Qasas: 56)


Walau bagaimanapun kita melihat Saidina Umar r.a berjaya memeluk Islam apabila mendengar ayat-ayat al-quran, walhal Umar r.a sebelumnya terkenal dengan perangai jahiliyahnya.Manusia adalah sebaik-baik kejadian, berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan keputusan pemikiran baik, maka baiklah perbuatannya. Tetapi bila jalan pemikirannya salah, maka akan salahlah perbuatannya. Orang yang baik dan benar jalan pemikirannya maka orang itu dikatakan mendapat hidayat dari Allah SWT. Maka apabila salah jalan pemikirannya hingga melakukan kejahatan maka ia tidak mendapat petunjuk Allah SWT. Oleh yang demikian ibu bapa hendaklah selalu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk Allah SWT selain daripada mengamalkan suruhan Allah SWT yang lain.


Mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara mudah. Ibu bapa hendaklah terus menerus tanpa berputus asa dalam membentuk akhlak anak. Langkah penting bagi ibu bapa dalam meneruskan kesinambungan fitrah akhlak anak ialah memberi pendidikan agama bermula sejak kecil lagi. Langkah ini bagi menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak terencat apabila ia menempuhi alam remaja. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak itu mampu menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya atau sekurang-kurangnya boleh menjauhi anak dari menjadi jahat tabiatnya. Oleh itu ibu bapa perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang diamalkan oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana mementingkan pendidikan agama sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang


Sumber : al-muqqorobun.blogspot.com