Seseorang tidak boleh bertemu secara sedar (yaqazah)
dengan Rasulullah s.a.w. kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh
bertemu dengan orang yang hidup secara sedar.
Al-Jawab:
Benar, dalam hal keadaan biasa seseorang tidak boleh bertemu
secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi,
sebagai suatu karamah seseorang yang soleh boleh bertemu
secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Hukumnya
adalah harus dan mungkin, tidak mustahil. Malah secara praktis ia memang
berlaku kepada sebahagian wali-wali Allah Taala dan orang-orang yang soleh.
Maka tidak harus bagi kita menuduh mereka berbohong atau berdusta dalam dakwaan
berkenaan. Melainkan jika kita mempunyai bukti kukuh tentang
pembohongan atau pendustaan tersebut.
Antara mereka ialah; Syeikh ‘Abdul Qadir
al-Jailani, Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi,
Syeikhul-Akbar Muhyiddin Ibn al-‘Arabi, Syeikh Khalifah bin Musa, Syeikh Abu
al-‘Abbas al Mursi (w. 686H), Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qurasyi, Syeikh
Kamaluddin al-Adfawi, Syeikh ‘Ali al-Wafa’i, Syeikh ‘Abd al-Rahim al-Qinawi,
Syeikh Abu Madyan al-Maghribi, al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Syeikh ‘Ali
al-Khawwas, Syeikh Ibrahim al-Matbuli, Imam Abu al-‘Abbas al-Qastallani, Syeikh
Abu al-Su‘ud ibn Abi al-‘Asya’ir, Syeikh Ibrahim al-Dusuqi, Sayyid Nuruddin
al-Iji, Syeikh Ahmad al-Zawawi, Syeikh Mahmud al-Kurdi, Syeikh Ahmad bin Thabit
al-Maghribi, Imam al-Sya‘rani, Syeikh Abu al-Mawahib al-Syazili, Syeikh
Nuruddin al-Syuni, al-Habib ‘Umar bin ‘Abdul Rahman al-‘Attas (penyusunRatibul
‘Attas), Sayyidi ‘Abd al-‘Aziz al-Dabbagh, Syeikh Muhammad bin Abi al-Hasan
al-Bakri, Sayyidi Ahmad bin Idris, Syeikh Ahmad al-Tijani dan lain-lain.
Antara dalilnya adalah zahir hadis berikut
yang menunjukkan seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah)
dengan Rasulullah s.a.w., tetapi dengan syarat mestilah pernah bertemu
dahulu secara mimpi (ru’ya) dengan baginda s.a.w. Dari Abu Hurairah
r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
« من
رآني في المنام فسيراني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي»
“Sesiapa yang melihatku di dalam
mimpi, maka dia akan melihatku secara yaqazah (di dalam
keadaan jaga), kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku”. [Hadis riwayat
al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad. Lafaznya dari al-Bukhari]
Antara ulama yang mengatakan atau
mengiktiraf kemungkinan boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah)
dengan Rasulullah s.a.w. ialah:
1.
Imam Ibn Abi Jamrah al-Maliki dalam Bahjah
al-Nufus.
2.
Al-‘Allamah Ahmad al-Nafrawi al-Maliki dalam
Syarh Risalah Ibn Abi Zayd.
3.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul
Bari Syarh Sahih al-Bukhari.
4.
Al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam Tanwir
al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak.
5.
Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
6.
Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal.
7.
Imam Syihabuddin al-Qarafi,
8.
Imam ‘Afif al-Din al-Yafi‘i al-Syafi‘i dalam (روض الرياحين).
9.
Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki dalam
al-Madkhal.
10.
Al-Qadhi Ibnu al-‘Arabi al-Maliki dalam kitabnya
(قانون التأويل)
11.
Al-Qadhi Syaraf al-Din al-Barizi dalam (توثيق عرى الإيمان).
12.
Imam Tajuddin al-Subki.
13.
Imam al-Qurtubi dalam (التذكرة في
أحوال الموتى وأمور الآخرة).
14.
Al-‘Allamah Ibn Battal al-Maliki
15.
Al-‘Allamah Ibn al-Tin
16.
Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam dalam
al-Qawa'id al-Kubra
17.
Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh
al-Syama'il.
18.
Al-Qadhi Ibn al-Munayyir.
19.
Imam Ibn Daqiq al-‘Id.
20.
Imam ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani dalam beberapa
kitabnya.
21.
Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki dalam
al-Fatawa al-Hadithiyyah.
22.
Al-‘Allamah ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh
al-Qadir.
23.
Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdullah al-‘Idrus (w.
1038H) dalam kitabnya al-Nurus Safir ‘an Akhbaril Qarnil ‘Asyir.
24.
Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam
al-Mufhim . Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib
al-Laduniyyah.
25.
Imam al-Baqillani.
26.
Al-‘Allamah Sadruddin al-Qunawi dalam Syarh al-Arba‘in.
27.
Al-‘Allamah Burhanuddin al-Biqa’i dalam al-Hawi.
28.
Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki.
29.
Al-‘Allamah al-Maziri.
30.
Al-‘Allamah Nuruddin al-Iji.
31.
Al-‘Allamah ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi dalam Syarh
Salawat al-Jaylani.
32.
Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H)
dalam al-Futuhat al-Ilahiyyah.
33.
Al-‘Allamah Syeikh Ibn ‘Allan al-Siddiqi.
34.
Al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazi dalam kitabnya
al-Kawakib al-Sa’irah.
35.
Imam Syah Waliy Allah al-Dihlawi dalam al-Durr
al-Thamin.
36.
Al-‘Allamah al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma'ani.
37.
Sayyid ‘Abdul Rahman al-‘Idrus dalam kitab Syarh
Salawat al-Badawi.
38.
Syeikh ‘Ali al-Ajhuri al-Maliki dalam al-Nur
al-Wahhaj.
39.
Syeikh Muhammad al-Khalili dalam al-Fatawa.
40.
Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dalam
al-Solat 'ala al-Nabiy.
41.
Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani dalam
Sa‘adah al-Darayn, Syawahidul Haq dan Jami‘ Karamatil Auliya’.
42.
Syeikh Badi‘ al-Zaman Sa‘id al-Nursi.
43.
Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh
al-Syama’il.
44.
Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf.
45.
Syeikh Abu al-Qasim Muhammad al-Hafnawi dalam
Ta'rif al-Khalaf.
46.
Al-‘Allamah Dr. ‘Abdul Halim Mahmud, Syeikhul
Azhar.
47.
Al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah al-Siddiq
al-Ghumari dalam kitabnya Fadha’ilun Nabi SAW.
48.
Al-‘Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki
dalamal-Zakha’ir al-Muhammadiyyah.
49.
Al-‘Allamah Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti.
50.
Al-Allamah Dr. ‘Ali Jum‘ah, Mufti Mesir dalam
al-Bayan.
51.
Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil,
52.
Dr. Mahmud al-Zayn.
53.
Datuk Seri Maharaja Awang Haji Ismail bin Umar
Abdul Aziz, Mufti Brunei.
Dan ramai lagi jika diperincikan secara
detail.
2. Kekeliruan:
Iktikad seperti ini membuka
pintu kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan
agama. Ini kerana, seseorang
yang telah berjumpa Nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan
yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.
Al-Jawab:
Belum ada orang mukmin soleh yang telah berjumpa Nabi s.a.w.
mendakwa membawa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w.
kepadanya, dalam erti kata, ajaran-ajaran tambahan yang tidak ada asalnya dalam
al-Quran mahupun hadis. Kesemua yang dinyatakan sekiranya betul, hanyalah
berbentuk petunjuk dan nasihatyang tidak lari dari ruang lingkup
syarak, atau mempunyai asalnya daripada al-Quran dan hadis.
Kata al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh
Muhammad al-Hafiz al-Tijani (w. 1398H):
“Kami tidak beriktikad bahawa di sana - selepas
Rasulullah SAW - terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk sekalipun.
Dan apa yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh sebahagian
daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang mendakwa
sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.
Sesungguhnya kami, meskipun kami berpendapat harus seorang wali
itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya
adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali
atas apa yang menepati syariatnya SAW. Penyaksian-penyaksian para wali itu
bukanlah suatu hujah, tetapi yang menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW.
Adapun penyaksian-penyaksian tersebut, hanyalah berita-berita gembira
(busyra) yang terikat dengan syariat baginda yang mulia; apa yang diterima
olehnya kami juga menerimanya dan apa yang tidak diterima olehnya, maka mazhab
kami adalah bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya seperti hukum mimpi
yang tertakwil.
Kita tidak ragu lagi bahawa kebanyakan mimpi itu perlu kepada
takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka baik kerana seorang mukmin yang
bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah
utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap agamanya, serta patuh mengikutinya,
kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga
dalam perkara ini adalah sama seperti keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan
baginda SAW: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah
dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”. – tamat kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz
al-Tijani.
3. Kekeliruan:
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul
oleh para ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat
Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber
hadis lain yang lebih dekat kepada baginda.
Al-Jawab:
Kekeliruan ini hanya pendapat akal dan khayalan semata-mata yang
tidak berpijak kepada realiti yang berlaku dalam dunia kerohanian ahli-ahli
sufi yang hak. Tiada siapa dari kalangan wali-wali Allah Taala dan orang-orang
soleh ini mengatakan segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulama yang
menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman
sudah tidak lagi diperlukan kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat
kepada baginda. Pada saya, kekeliruan kerana berkhayal ini disebabkan kerana
tidak cukup menelaah, membaca dan memahami.
4. Kekeliruan:
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah
amalan-amalan yang boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung
daripada Rasulullah kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul
s.a.w.
Al-Jawab:
Sudah ratusan tahun isu bertemu secara sedar (yaqazah) dengan
Rasulullah s.a.w. ini dibincangkan oleh para ulama. Namun, hakikatnya
tiada langsung akidah baru atau hukum-hakam baru yang didakwa oleh orang-orang
soleh dan wali-wali Allah Taala yang pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w.
Kebanyakannya jika betul adalah berkaitan zikir, doa dan selawat.
Dan kesemua itu pula tidak terkeluar dari dalil-dalil dan perintah-perintah
syarak yang umum mengenainya. Bahkan menurut ramai ulama, masalah-masalah yang
khusus berkaitan zikir dan doa ini pintu perbahasannya adalah lebih luas, tidak
sepertimana amalan-amalan ibadah lain, selamamana ia tidak melanggar
batas-batas syarak. Jika benar ada penerimaan sesuatu secara yaqazah,
maka hukumnya adalah seumpama hukum apa yang diperolehi daripada kasyaf, ilham
dan mimpi yang benar. Mesti ditimbang dengan neraca syarak.
Cuba perhatikan kata-kata Syeikh Muhammad
al-Hafiz al-Tijani tadi:
“Meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat
Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama
seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegangkecuali atas apa
yang menepati syariatnya SAW”.
5. Kekeliruan:
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak
ini telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan
berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari Nabi
s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu
sendiri oleh Rasulullah s.a.w iaitu, kitabullah dan sunahnya.
Al-Jawab:
Percaya bahawa seorang wali atau orang soleh boleh menerima
taklimat terus dari Nabi s.a.w tidak akan memusnahkan
institusi hadis yang sudah sedia ada. Jika benar mereka bertemu secara sedar (yaqazah)
dengan Rasulullah s.a.w., maka adalah amat MUSTAHIL baginda
s.a.w. akan menyuruh kepada perkara-perkara yang akan memansuhkan atau
merosakkan syariatnya sendiri. Tidak dapat diterima dek akal bahawa Nabi s.a.w.
akan mengkucar-kacirkan syariat yang telah dibangunkan dengan titik peluh dan
darah dagingnya sendiri.
Apa yang dikhayalkan itu tidak akan berlaku selama-lamanya
kerana para wali atau orang-orang soleh tersebut adalah golongan yang amat
takut kepada Allah SWT, sangat cinta kepada baginda Nabi s.a.w., terlalu sayang
dengan syariat baginda s.a.w., dan begitu kasih kepada umat baginda s.a.w.
Apakah dapat diterima akal, mereka ini berusaha untuk merosakkan syariat
baginda s.a.w.dan menyesatkan umatnya?? Seolah-olah mereka tidak pernah dengar
hadis baginda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan
sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”.
Jangan terlalu berprasangka buruk kepada ahli-ahli sufi
seolah-olah mereka semua orang yang bodoh, tidak mengerti syariat dan akan
menerima secara membuta tuli siapa saja yang mendakwa bertemu dengan Nabi
s.a.w., walaupun dari orang yang jahil. Jika ada ahli sufi yang menyeleweng,
maka sandarkan kesalahan itu kepadanya sahaja, bukan kepada semua golongan ahli
sufi.
6. Kekeliruan:
Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari,
Muslim, Abu Daud Ahmad dan ramai lagi, berjuang hingga berjaya menjadikan
sumber rujukan Islam kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang
yang tidak bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari
baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh
ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.
Al-Jawab:
Rangkap akhir di atas dapat difahami sebaliknya begini; Jika ada
orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda dan disandarkan
kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu
dianggap benar. Alhamdulillah, ada sedikit kemuafakatan.
Cubalah lihat contohnya, kitab al-Durr al-Thamin fi
Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW susunan Imam al-Mujaddid Syah Wali
Allah al-Dihlawi yang menghimpunkan 40 peristiwa bertemu Rasulullah s.a.w.
secara mimpi dan jaga. Perhati dan fahamkan, apakah ada yang tidak bersandarkan
kepada syariat baginda s.a.w.?
Sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas
ini perlu dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan
menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan
mereka mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.
Al-Jawab:
Menurut pengetahuan saya setakat ini, tidak
ada satu pun tariqat sufi muktabar di dunia pada hari ini yang menolak
keharusan bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah
s.a.w. Apakah seluruh tariqat-tariqat sufi ini dengan puluhan juta
pemgamalnya perlu dibendung dan dibanteras...? Apakah kemusnahan benar-benar
berlaku kepada masyarakat Islam dan mereka telah jauh dari ajaran Nabi s.a.w.
disebabkan seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan – sesudah
sekian lama - seorang soleh harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah)
dengan Rasulullah s.a.w. ??
Tidak ada orang waras yang mengatakan
demikian. Bahkan ramai dari kalangan alim ulama tariqat-tariqat sufi ini adalah
pemelihara-pemilhara sunnah baginda s.a.w. baik sunnah yang zahir mahupun
sunnah yang batin. Berapa banyak rahmat dan manfaat rohani yang tersebar di
seluruh dunia sama ada kita sedari ataupun tidak, disebabkan usaha-usaha
mereka.
Memang seluruh tariqat sufi di dunia pada
hari ini menyatakan harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan
Rasulullah s.a.w., namun realitinya perkara tersebut tidak selalu berlaku
pun kerana ia adalah suatu karamah yang dianugerahkan oleh Allah
kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki sahaja. Bahkan dalam tempoh 100 tahun,
barangkali hanya beberapa orang sahaja yang boleh dibilang dengan jari mendakwa
demikian, atau dikatakan mengalaminya. Jika peribadi dan latar belakangnya
bertunjangkan syariat, maka baru boleh diterima dakwaan itu. Jika sebaliknya,
maka dakwaan tersebut adalah wajib ditolak.
Perlu juga dilihat bagaimana cara mereka
dapat mencapai peringkat kerohanian yang tinggi itu; Apakah zikirnya 100,000
setiap hari, atau selawatnya 50,000 setiap hari, atau tahajjudnya 500 rakaat
setiap hari? Atau apakah hanya sekadar berjanggut, berjubah dan berserban besar
saja, tetapi amalannya ‘kosong’?? Kata al-‘Allamah Ibn
Al-Haj dalam kitab al-Madkhal (3/194):
“Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi
s.a.w. secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit
(sukar) untuk diperbahaskan. Amat sedikitlah dari kalangan mereka
yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walau
bagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya,
dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir
dan batin mereka.”
Wallahu a’lam.
- Fatwa Mufti Brunei, download : yaqazah-fatwa-mufti-brunei.
Sumber :
sawanih.blogspot.com
sangat bermasalah. semoga allah memberi hidayah. ameen.
ReplyDelete