Sunday, October 24, 2010


ADAKAH SAH SEMBAHYANG DENGAN MINYAK WANGI DAN MINYAK RAMBUT YANG MENGANDUNGI ALCOHOL??

Islam telah meletakkan kebersihan sebagai kunci bagi sahnya ibadat sembahyang. Oleh kerana itu tidak akan diterima sembahyang seorang muslim sehingga badannya bersih, pakaiannya bersih dan tempat yang digunakan pun dalam keadaan bersih. Kebersihan dikira sebagai menentukan sahnya sembahyang seseorang itu, kerana najis yang terdapat pada tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah.

Persoalan alkohol selalu dikaitkan dengan sah atau ketidaksahan sembahyang, kerana itu timbullah keraguan adakah alkohol itu najis? Ini kerana ada sebahagian minyak wangi dan minyak rambut mengandungi alkohol sehingga timbul persoalan, bolehkah minyak wangi atau minyak rambut yang bercampur alkohol dibawa sembahyang?

Pengertian alkohol

Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara.

i. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates)

ii. Sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Websters Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17)

Cara yang pertama di atas merupakan cara bagaimana menghasilkan khamar (arak) atau minuman yang memabukkan.

Kenajisan arak

Menurut jumhur (majoriti) ulama yang terdiri daripada Imam-Imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafie˜i, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama rahimahumullah, arak adalah najis berdasarkan firman Allah Taala:

    Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: 90)

Oleh kerana arak itu menurut jumhur ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak adalah najis juga hukumnya.

Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak dari sebab kenajisan arak. Dari itu, dapat difahami bahawa alkohol itu bukanlah semestinya najis jika ia tidak diambil daripada arak, sebagai contoh tapai yang biasa dimakanpun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak haram dimakan kerana sifatnya yang tidak memabukkan.

Akan tetapi, jika tapai itu sifatnya memabukkan (sampai ke peringkat boleh memabukkan), maka memakan tapai itu adalah haram. Adapun alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia yang mana sifatnya sangat memudharatkan seperti mana racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan di mana tidak ada seorang ulamapun yang menghukumkannya sebagai najis ainiyyah.

Imam an-Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair:

Ertinya: Setiap yang memabukkan lagi cair

Imam Ibnu Hajar rahimahullah dalam menghuraikan kata-kata Imam an-Nawawi rahimahullah di atas berkata:

Ertnya:

    (Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan di sini ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal



Ibnu Hajar rahimahullah menghuraikan lagi:

Ertinya:

    (Cecair) itu seperti arak dengan segala jenisnya yang diambil daripada anggur; dan nira (tuak) yang diambil selain daripada anggur


Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa setiap arak mengandungi
alkohol, tetapi tidak semua alkohol berasal daripada arak.

Hukum alkohol daripada arak

Alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak, meminumnya adalah jelas haram sebagaimana keterangannya di atas. Adapun menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak adalah haram juga, kerana berlumur dengan najis tanpa ada keperluan yang syar’i adalah haram hukumnya sebagaimana kata Ibnu Hajar rahimahullah:

Ertinya:

    Haram berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada apa sesuatu hajat (yang syar’i)



Dengan itu, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak kerana ia adalah najis.

Hukum alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia

Alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun.

Bagaimanapun minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis.

Dari itu, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.

Perkara yang meragukan hendaklah ditinggalkan Tetapi yang menjadi persoalan ialah kita tidak dapat mempastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam sesuatu minyak wangi atau minyak rambut itu, adakah ia diambil dari sumber yang suci atau najis?

Apabila timbul keraguan seumpama ini, menurut ajaran Islam, perkara tersebut hendaklah ditinggalkan. Hasan bin Ali radhiallahu anhuma meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah shallallahu alaihi wasallam yang bersabda:


Maksudnya:

    Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.

    (Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasaâi, Ahmad dan ad-Darimi)



Dalam hadis yang lain pula dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragui kehalalan dan keharaman sesuatu perkara adalah menandakan kesungguhan seseorang itu dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala membuat perkara yang masih di dalam kesamaran akan membawa kepada melakukan perkara yang haram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ˜alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada an-Nu’man bin Basyir radhiallahu anhu:

Maksudnya:

    Maka barangsiapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhat, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya (dari kecaman); dan barangsiapa yang terjatuh di dalam perkara-perkara yang syubhat (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram.(Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu jelaslah menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang bersumber daripada arak adalah haram, kerana ia adalah najis dan tidak sah dibawa sembahyang. Manakala minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah diharuskan, kerana ia bukan najis dan sah dibawa sembahyang.

Walau bagaimanapun apabila timbul keraguan terhadap kedudukan alkohol yang terdapat dalam minyak wangi atau minyak rambut, sama ada ia diambil daripada sumber yang najis atau sumber yang suci, menurut ajaran Islam adalah lebih selamat perkara tersebut ditinggalkan dari menggunakannya. Tambahan pula di pasaran banyak terdapat minyak wangi atau minyak rambut yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi pilihan kita

Wallahu'alam

Sumber : Mufti Brunei

Posted on Sunday, October 24, 2010 by Qalam Sufi

No comments

Allah Ta’ala berfirman:

قُل لاَّ أَجِدُ فِي مَا أُوْحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلاَّ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

“Katakanlah, “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi, kerana sesungguhnya semua itu kotor (naijs).” (QS. Al-An’am 145)

Dari Asma’ -radhiallahu anha- dia berkata:

جَاءَتْ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِحْدَانَا يُصِيبُ ثَوْبَهَا مِنْ دَمِ الْحَيْضَةِ كَيْفَ تَصْنَعُ بِهِ قَالَ تَحُتُّهُ ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالْمَاءِ ثُمَّ تَنْضَحُهُ ثُمَّ تُصَلِّي فِيهِ

“Seorang perempuan datang menemui Nabi -shallallahu ‘alaihi wasallam- seraya berkata, “Pakaian salah seorang dari kami (wanita) terkena darah haid, apa yang harus dia lakukan?” Beliau menjawab, “Keriklah darah itu (terlebih dahulu), kemudian bilaslah dia dengan air, kemudian cucilah ia. Setelah itu (kamu boleh) memakainya untuk shalat.” (HR. Al-Bukhari no. 330 dan Muslim no. 291)

Dari Abdullah bin Umar t beliau berkata:

أُحِلَّتْ لَكُمْ مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ وَأَمَّا الدَّمَانِ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

“Telah dihalalkan buat kalian dua jenis bangkai dan dua jenis darah: Kedua jenis bangkai adalah bangkai ikan dan bangkai belalang, sedangkan kedua jenis darah adalah hati dan limpa.” (HR. Al-Baihaqi: 1/254)

Hadits ini walaupun mauquf dari Ibnu Umar, akan tetapi mempunyai hukum marfu’, yakni sama saja kalau Nabi yang mengucapkannya. Kerana ucapan sahabat, “Dihalalkan untuk kami …,” maksudnya adalah: Yang menghalalkan hal itu adalah Nabi -alaihishshalatu wassalam-.

Ash-Shan’ani berkata dalam Subul As-Salam (1/25), “Jika sudah jelas hadits ini mauquf maka ketahuilah bahwa hukumnya adalah marfu’, kerana ucapan seorang sahabat, “Dihalalkan untuk kami ini dan diharamkan untuk kalian ini,” sama hukumnya dengan ucapannya, “Beliau memerintahkan kami dan melarang kami.” Kerananya boleh berhujjah/berdalil dengan hadits mauquf semacam ini.
Ucapan Ibnu Umar ini diriwayatkan secara marfu’ dengan sanad yang mungkar, dan yang benarnya hadits ini mauquf atas Ibnu Umar sebagaimana yang ditetapkan oleh Abu Zur’ah, Abu Hatim, Ad-Daraquthni, dan selainnya -rahimahumullah-.

Penjelasan Fiqh

Darah dalam pembahasan fiqh ada beberapa jenis:

1. Darah haid. Ianya adalah najis berdasarkan kesepakatan para ulama. Di antara dalil yang menunjukkan najisnya adalah hadits Asma` di atas dan juga hadits Ummu Qais bintu Mihshan dia berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah tentang pakaian yang terkena darah haid. Maka beliau menjawab, “Keriklah dia dengan kayu dan cucilah ia dengan air dan daun bidara.” (HR. Ahmad no. 1570)
Imam Asy-Syaukani berkata dalam Nail Al-Authar (1/58), “Ketahuilah bahawa darah haid adalah najis berdasarkan kesepakatan kaum muslimin, sebagaimana yang dikatakan oleh An-Nawawi.”

2. Darah nifas. Hukumnya sama seperti darah haid berdasarkan ijma’ di kalangan ulama. Ijma’ ini dinukil oleh Ibnu Qudamah dalam Asy-Syarh Al-Kabir (1/157) dan Asy-Syirbini dalam Mughni Al-Muhtaj (1/120). Kerana, sebagaimana darah haid, darah nifas juga najis dan tidak ada dalil yang mengecualikannya dari ijma’ di atas.

3. Darah istihadhah. Darah istihadhah adalah suci kerana wanita yang terkena istihadhah tetap wajib mengerjakan solat berdasarkan kesepakatan ulama. Ibnu Jarir dan selainnya menukil ijma’ ulama akan bolehnya wanita yang terkena istihadhah untuk membaca Al-Qur`an dan wajib atasnya untuk mengerjakan semua kewajiban yang dibebankan kepada wanita yang suci. Lihat nukilan ijma’ lainnya dalam Al-Majmu’ (2/542), Ma’alim As-Sunan (1/217).

4. Darah yang mengalir, baik darah manusia mahupun binatang. Dia adalah darah yang keluar dari urat ketika terluka atau terhiris benda tajam.

Ada dua pendapat di kalangan ulama akan hukumnya:

1. Dia najis. Ini merupakan mazhab Imam Empat, namun mereka berpendapat bahawa darah yang jumlahnya sedikit boleh dimaafkan, walaupun mereka berbeza pendapat mengenai ukuran sedikit tersebut. Bahkan sebagian ulama ada yang menukil adanya ijma’ akan najisnya darah yang mengalir, di antaranya: Imam Ahmad -sebagaimana dalam Syarh Al-Umdah Ibnu Taimiah (1/105), Ibnu Hazm dalam Maratib Al-Ijma’ hal. 19, An-Nawawi dalam Al-Majmu’ (2/511), Al-Qurthubi dalam Tafsirnya (2/222), dan Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari (1/352)

Di antara dalil mereka surah Al-An’am yang tersebut di atas, mereka mengatakan bahwa kata ‘rijs’ bermakna najis. Dan juga mengkiaskan darah yang mengalir kepada darah haid.

2. Hukumnya suci. Ini adalah pendapat yang dikuatkan oleh Imam Asy-Syaukani dalam Ad-Durari Al-Madhiyah (1/26) dan Shiddiq Hasan Khan dalam Ar-Raudhah An-Nadiyah (1/81). Di antara dalil-dalil mereka adalah:

  • a. Nabi -alaihishshalatu wassalam- beserta para sahabat beliau sangat sering melakukan jihad, dan sudah dimaklumi bahwa orang yang berjihad itu pasti sering terluka. Akan tetapi bersamaan dengan itu, tidak ada satupun perintah dari syariat yang memerintahkan mereka untuk mencuci darah mereka yang mengucur. Tatkala tidak ada nash yang shahih lagi tegas yang menunjukkan hal tersebut maka dari sini diketahui bahwa darah adalah suci.
  • b. Orang yang mati syahid tidak dimandikan, bahkan dia dikuburkan bersama pakaian dan darahnya. Maka ini dalil yang sangat tegas menunjukkan sucinya darah, kerana tidak dibenarkan seorang muslim membiarkan saudaranya terkena bahkan diliputi oleh najis, baik dia dalam keadaan hidup maupun telah meninggal. Maka seandainya darah itu najis niscaya syariat yang mulia akan memerintahkan untuk membersihkannya terlebih dahulu sebelum dikubur.
  • c. Nabi -alaihishshalatu wassalam- mengizinkan para sahabat yang terluka dan juga para wanita yang mengalami istihadhah untuk masuk ke dalam masjid. Seandainya darah itu najis maka tidak mungkin Nabi -alaihishshalatu wassalam- membiarkan mereka masuk ke masjid kerana berisiko mengotori masjid dengan darah yang najis. Di antara dalil yang menunjukkan hal ini adalah hadits Aisyah riwayat Al-Bukhari no. 563 dan Muslim no. 1769 dimana Nabi -alaihishshalatu wassalam- membuatkan khemah di dalam masjid bagi Sa’ad bin Muaz yang tengah terluka agar beliau boleh sering menjenguknya. Kerananya mengkiaskan darah yang mengalir kepada darah istihadhah (dan dia bukan najis), itu lebih tepat daripada mengkiaskannya dengan darah haid. Kerana darah yang mengalir dan darah istihadhah sama-sama keluar dari urat yang pecah, sementara darah haid keluarnya dari rahim.
  • d. Nabi -alaihishshalatu wassalam- bersabda, “Sesungguhnya mukmin itu bukanlah najis.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). Jika bangkai manusia itu suci maka darahnya pun juga suci sebagaimana ikan.
Tarjih:

Insya Allah yang rajih dalam masalah ini adalah pendapat yang kedua yang menyatakan bahwa darah yang mengalir bukanlah najis, berdasarkan semua dalil yang disebutkan di atas. Di antara yang merajihkan pendapat ini dari kalangan muta`akhkhirin adalah Asy-Syaikh Al-Albani dan Asy-Syaikh Ibnu Al-Utsaimin -rahimahumallah-. Adapun ayat yang dijadikan dalil oleh pendapat pertama maka boleh dijawab dari dua sisi:
  
1. Ayat itu hanya menjelaskan haramnya memakan darah yang mengalir, sementara pengharaman sesuatu tidaklah melazimkan najisnya sesuatu tersebut. Ganja dan rokok sudah jelas haramnya, akan tetapi tidak ada ulama yang mengatakan kalau daun ganja dan tembakau itu najis

2. Kata ‘rijs’ dalam syariat boleh bermakna najis aini (zatnya) tapi boleh juga bermakna najis ma’nawi (sifatnya) tapi bukan najis aini. Allah Ta’ala berfirman tentang kaum munafikin, “Berpalinglah kalian darinya kerana sesungguhnya mereka adalah rijs,” (QS. At-Taubah: 95) yakni najis kekafirannya tapi tidak kafir tubuhnya. Semisal dengannya ayat 33 dari surah Al-Ahzab.
Adapun nukilan ijma’ maka mungkin yang dimaksudkan adalah ijma’ ulama mazhab ataukah dikatakan bahwa para ulama ini menukil ijma’ berdasarkan nukilan ijma’ dari ulama yang lainnya, yakni mereka saling menukil satu sama lain.
[Lihat juga Shahih Fiqh As-Sunnah: 1/77-79]

5. Atsar Ibnu Umar di atas menunjukkan halal dan sucinya bangkai ikan dan belalang serta halal dan sucinya darah yang terdapat pada hati dan limpa. Sucinya darah hati dan limpa berdasarkan ijma’ di kalangan ulama, sebagaimana yang dinukil oleh An-Nawawi dalam Al-Majmu’ (2/578) dan selainnya.

Wallahu a’lam

Sumber : http://al-atsariyyah.com
daripada Ust. Abu Muawiah

Posted on Sunday, October 24, 2010 by Qalam Sufi

No comments

Monday, August 16, 2010


Usuluddin: Sebelum dan sesudah bertariqah

Perlunya belajar Ilmu Usuluddin terlebih dahulu sebelum memperdalamkan ilmu Tariqat dan Ilmu Haqiqat kerana di khuatiri kita akan tersasul atau tersalah dalam I'tiqad kita. Kalau I'tiqad sudah sesat segala ibadat kita akan hancur sehancur-hancurnya. Bahaya inilah yang paling dibimbangi oleh Ulama sufi dahulu kala dan zaman sekarang dan banyak kita saksikan segala macam fitnah yang berlaku di kalangan orang yang kononnya ahli tariqat atau ahli makrifat atau ahli haqiqat atau ahli wushul atau ahli irfan dan segala macam nama yang muluk-muluk lagi mencetuskan kerosakan pada ilmu Tariqat itu sendiri.

Dalil Pertama:

Adapun dalil kepentingan mempelajari Ilmu Tauhid atau Ilmu Usuluddin khusus bagi mereka yang ingin memperdalamkan ilmu Tariqat dan ilmu haqiqat ialah :

Kata Syeikh Daud Al Fathani :

"Maka apa ‘kufur' yang terlebih besar dari kufur ini? Dan apa fikah (pemahaman atau aliran pemikiran) daripada fikah ini yang membawa kepada zindiq dan mulhid. Maka sebab yang demikian kerana jahil ia akan hukum Ilmu Usuluddin dan jahil akan I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Tiada kenal apa yang wajib bagi Allah dan apa yang mustahil dan apa yang harus bagi Allah , maka segala ibadatnya (akan menjadi) debu yang berterbangan, kerana ibadat dan taat itu terhenti di atas sah I'tiqad iaitu sah iman dan Islam. Maka tiada sah sekelian ibadat dan taat maka dimana beroleh ia dapat ‘taraqqi' daripada satu maqam kepada satu maqam ? Maka jika tiada ada taraqinya betapa dapat fana' dan betapa dapat zauknya dan wajdan? Maka betapa ia dapat haqiqat maka jadi sekelian yang dikatakan ini DAKWA jua dan segala yang menyalahi yang keluar pada tangannya itu,jika ada, dinamakan ‘istidraj' jua maka tiada dinamakan karamah. Seperti kata Syeikh Muhammad Fadhlullah di dalam Tuhfatul Mursalah.

Dan setengah daripada pekerjaan yang mustahil pada aqal dan pada syara' ialah sampai seseorang kepada maqam yang di namakan ‘Wahdatul Wujud' orang yang tiada menjalani dengan syariat dan tariqat maka ia dapat haqiqat yang demikian itu adalah DUSTA dakwanya dan orang yang dakwa SYAITAN. Dan segala perkataannya itu tiada dapat zauk (Yang haq) dan hanya kabaran jua. Dan dimana ada boleh ia dapat zauq pada orang sesat di dalam ‘bahrun zindiq' dan ikhwan syaithan'. Maka inilah yang ada banyak pada akhir zaman dinamakan DAJJAL seperti yang di sabdakan di dalam hadis nabi s.a.w. : "Tiada berdiri hari qiamat hingga keluar tiga puluh Dajjal dahulu".Na'uzubillahi min dzalik"

Daripada Kata Syeikh Daud Al fathani ini dapatlah di simpulkan begini:

a.
    Memahami Ilmu Haqiqat terutama Ilmu yang melibatkan pengalaman keruhanian iaini musyahadah, zauk, wajdan, mukasyafah dan membicarakan Ilmu usul tahqiq atau Usul Haq kesemuanya mestilah terlebih dahulu memahami dan memperteguhkan pemahaman Ilmu Usuluddin supaya I'tiqad kita selamat dan tidak tergelincir dari mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kalau belum mantap dan mahir dalam Ilmu Usuluddin tinggalkan dulu darihal membicarakan Ilmu Haqiqat apatah lagi memperdalaminya kerana dibimbangi salah fahaman yang di terimanya. Bila salah fahaman maka salah pula tindakannya. Bila salah tindakannya maka Bid'ah jadinya. Bila Bid'ah jadinya neraka datang menggaru.

b.
    Kegelinciran dalam I'tiqad adalah sesuatu yang amat besar! Jika I'tiqad tidak sah atau diragui kebenarannya maka segala ibadat zahir mahupun batin akan hancur seperti debu yang berterbangan tiada nilai langsung! Cakapnya tinggal dakwaan saja atau pengakuan saja tetapi sebenarnya dia sebenarnya dusta samada dusta pada orang lain mahupun dirinya sendiri. Tak perlu lagi nak berbicara soal-soal yang hebat-hebat misalnya musyahadah, muqabalah, mukafahah, makrifat ,l aduni, Ahdiah, Lata'yin atau macam-macam istilah sufi yang muluk-muluk itu kerana ianya tak lebih pada khabar (cerita) saja.

Inilah mertabat ghurur(tipudaya) yang tidak disedari dari kalangan keruhanian yang menyangka diri mereka adalah sufi seperti yang diceritakan oleh Imam Al Ghazali dalam bab Al Kasyfu wat Tabyin fi Ghururil Khalqi Ajma'in dalam Ihya' Ulumiddin bahawa dalam kelompok ketiga dari kalangan orang yang ingin bersufi itu bahawa:

"Mengaku mempunyai ilmu mukasyafah (ilmu yang tersingkap segala hijab) dan mampu musyahadah dengan Allah Ta'ala melampaui maqam-maqam sufi, wushul (telah sampai ke darjat makrifat) dan menetapi haqiqat penyaksian,wushul sampai dekat. Padahal mereka ini tidak pernah wushul kepada Allah Ta'ala kecuali hanya kata-kata lisan dan nama saja." Dan kata Imam Al Ghazali lagi:"Mereka ini mengaku dirinya telah sampai kepada Allah Ta'ala dan tergolong orang-orang muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah Ta'ala).Padahal di sisi Allah Ta'ala tak lebih dari pengkhianatyang mungkar dan munafik".

Marilah kita memohon keampunan dan Rahmat dari Allah Ta'ala supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang di murkai Allah. Berlindung kita dengan Allah Ta'ala daripada segala kejahatan yang dijadikanNya.

c.
    Tiada boleh sampai kepada martabat haqiqat sebelum menjalani syariat dan tariqat mengikut yang di sepakati dalam sunnah perjalanan kaum sufi. Dan haram berguru kepada seseorang yang belum sempurna keempat-empat perkara iaini Syariat,Tariqat ,Haqiqat dan Makrifat mengikut segala adab dan kawaid kaum sufi.

d.
    Untuk memahami I'tiqad yang benar itu semestinyalah mempelajari Ilmu Usuluddin bagi Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dibangsakan kepada Imam Abu Hassan Asy'ari dan Abu Mansur Maturidi sepertimana yang ditulis oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Pehin Dato Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail Bin Omar Abdul Aziz dalam buku Aqidah Ahlus Sunnah Waljamaah m/s 36 jilid 1 bahawa:

"Berkata Imam Tajuddin As Subki yang kembali ke rahmatullah pada tahun 771 hijrah dalam Syarah Aqidah Ibni Al Hajib : ‘Yang dimaksudkan dengan nama Ahlus Sunnah wal Jamaah pada masa sekarang (pada masanya) ialah pengikut-pengikut Al Imam Al Asy'ari yang meninggal pada tahun 324 hijrah dan pengikut-pengikut Al Imam Abu Mansur Al Maturidi yang kembali ke rahmatullah pada tahun 332 hijrah' ".

Dalil Kedua:

Perlu dilihat dari sudut kepentingan Ilmu Usuluddin dan kedudukannya terlebih dahulu dan setelah jelas tentang kedudukannya maka nyatalah betapa perlunya ilmu ini dalam perjalanan atau suluk kita ke makrifatullah.

Adapun Ilmu Usuluddin ini adalah ilmu yang paling asas sekali, tanpanya seseorang itu tak akan mengenal Tuhannya. Dan bilamana Tak kenal bagaimana nak menyembahNya?

Lihat mabadi Ilmu Usuluddin. Bahawa kedudukannya adalah usul bagi agama dan segala ilmu yang lain berpunca dari ilmu ini! Dalam kitab Risalah Tauhid di sebut :

"Nisbahnya dengan ilmu yang lain ialah ilmu yang dibangsakan kepada agama Islam yang paling utama(pokok) sekali. Dan kelebihannya iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain. Dan juga kerana Ilmu Usuluddin (Ilmu Tauhid) ini jadi asal bagi segala ilmu-ilmu yang lain yang wajib diketahui dan lagi kerana mulia maudhu'nya (perbahasannya) iaitu Zat Tuhan dan Rasul. Dari itu jadilah ia semulia-mulia ilmu."

Masakan kita kata Ilmu Usuluddin ni tak penting atau pun bolehkah kita memperkecilkan dia semata-mata kita sudah memperdalami Ilmu Haqiqat atau Ilmu Zauk? Sebenarnya tak faham ilmu haqiqat masih boleh dimaafkan tapi awas kalau tak faham atau tak belajar ilmu Usuluddin buruk padahnya!

Bahkan ada setengah kitab Usuluddin dalam membicarakan tentang mabadi( pembukaan atau sari kata) Ilmu ini seperti yang tercatit di dalam kitab Peta Aqidah Tauhid jilid pertama yang di susun oleh Imanuddin Yahya bagi Pasentren Islam Al Ansar Tanjung Pura Langkat bahawa:

"Bahawa tiada ditimbang amalan seseorang jika seseorang itu tiada mempelajari yakni jahil akan Ilmu Tauhid (Ilmu Usuluddin) ini".

Semua bersetuju akan kepentingannya TERUTAMA bagi mereka yang nak terjun ke alam tariqat, haqiqat dan makrifat. Tiada alasan, soal tidak memadai dengan mempelajari Usuluddin tanpa memperkayakan dengan ilmu tariqat dan haqiqat itu persoalan kedua tetapi nak memperemehkan kepentingan Ilmu Usuluddin dalam apa keadaan sekalipun adalah tidak disetujui

Diharapkan kita insya'allah lebih berhati-hati dalam persoalan membicarakan maratib ilmu (Tertib ilmu).

Jangan sampai kita memperemehkan atau memperbandingkan (mengikut fikiran nafsu samar kita) ilmu-Ilmu Islam sampai kadang kala terlancut perkataan ‘Ilmu hak tu tak sampai kemana' atau ‘sekadar ilmu kulit sahaja' dijauhkan Allah daripada kita bersikap demikian. Itu tanda kita jahil adab.

Sebenarnya semua ilmu tak kira asalkan ilmu itu dibenarkan syara sementelah ilmu yang dituntut syara maka wajib kita mencintainya nisbah melihat keindahan ciptaanNya.

Dalil Ketiga

Dalam Buku Ilmu Tasauf karangan Ulama Diraja Ustaz Muhamad Samman Khati yang di susun oleh Saudara Mokhtar Petah menjelaskan kepada kita bahawa wajib bagi orang yang ingin terjun ke dalam dunia keruhanian (Tariqat). Mesti mempelajari dan mahir dalam bidang Usuluddin supaya tidak sesat dalam perjalanannya kerana syaitan sentiasa berusaha merosakkan I'tiqad si salik supaya hancur segala amalannya.

Dalil Keempat

Dalam Kitab Sirrus Salikin bagi karangan Syeikh Abdus Samad Al Falimbani Jilid Ketiga ada menyatakan bahawa syarat untuk seseorang itu berbai'ah tariqat terlebih dahulu mursyidnya mengajar akan taubat dan ilmu fardhu ‘ain iaitu Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqah dan Ilmu Tasawuf maka barulah ia ditalkinkan dia akan tariqat. Apatah lagi bukan terus belajar haqiqat !!

Menyambung kata Syeikh Daud Al Fathani bahawa:

"Betapa ia dapat Ilmu haqiqat padahal Ilmu Usul belum ia tahu dengan baik dan ilmu syariat yang zahir tiada dapat ia faham pada pekerjaan ibadat yang fardhu dan sunat dan sah dan batalnya istimewa pula ia mengetahui ilmu Tariqat. Maka takut diri tiada ada orang yang berkepercayaan pada agamanya pada Usuluddin , ilmu yang zahir lagi mudah maka apa pula kita percayakan dia pada ilmu haqiqat yang tiada sempurna kepadanya melainkan dengan ‘suluk' pada guru yang mursyid lagi yang washil ilallahi Ta'ala dengan zauk dan wajdan yang di dapatnya dengan syuhud dan a'yan dan tiada lagi berkehendak kepada dalil dan burhan".



Kesan dan akibat jika Ilmu Usuluddin diabaikan atau tiada mahir dalam persediaan untuk menjalani Ilmu Tariqat dan ilmu Haqiqat.

a.

    Dikhuatiri akan menyebabkan fahaman pegangan I'tiqad terkeluar dari mazhab yang diredhai iaitu mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara tidak disedari dan mengakibatkan terkeluar daripada kaedah sunnah kaum sufiah sepertimana dikatakan oleh Qutubul Ariffin Al Kabir Syeikh Abdul Aziz al Dabbagh r.a. dengan katanya :

"Tidak akan terbuka (dari selindung hijab) kepada seorang hamba melainkan jika ia berada dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak ada seorang wali Allah dari aqidah selainnya."

Maka akan terjadilah penyelewengan yang menyeret orang lain kekancah zindiq akibat kecuaian ini. Justru itu lahirlah bermacam-macam fahaman yang pelik-pelik sesat lagi menyesatkan misalnya yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Qadir Jilani dalam Kitab Sirrul Asrar dan Tuhfatur Raghibin bagi Syeikh Muhammad Arsyad yang menyatakan puak sesat dalam kaum yang ingin bersufi. Perkara-perkara salah I'tiqad ini adakalanya berhubung dengan ketuhanan adakalanya berhubung dengan kenabian adakalanya berhubung dengan sam'iyat iaini perkara-perkara ghaib yang di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w. contohnya

Berkaitan Ketuhanan:

i.

    Mengi'tiqad Tuhan dan hamba bersatu.

ii.

    Mengi'tiqad Allah Zat dan hamba sifatNya.

iii.

    Mengi'tiqad diri adalah dari Nur Tuhan.

iv.

    Mengi'tiqad dirinya Allah.

v.

    Mengi'tiqad Allah bertempat dan berpihak.

iv.

    dll yang seumpama dengannya yang bercanggah dengan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

.

  


Berkaitan kenabian:

i.

    Mengi'tiqadkan ada nabi selepas nabi Muhammad.

ii.

    Mengaku diri sudah jadi nabi atau dirinya diresapi ruh Nabi Muhammad.

iii.

    Menafikan kenabian Muhammad zahir yang maklum dan menetapkan sebenar nabi adalah Muhammad awal saja iaini nur saja

iv.

    Nabi melakukan dosa.

v.

    mertabat wali mahsum macam nabi.

vi.

    dll yang seumpama dengannya.

.

  


Berkaitan perkara² Sam'iyat:

i.

    Akhirat sebenar tiada tapi akhirat sebenar di dunia ini.

ii.

    Kiamat sebenar adalah kiamat diri dan kiamat alam sebenarnya tiada.

iii.

    Mengaku Imam Mahdi atau jadi tentera-tenteranya dan cofirm jadi ahli syurga.

iv.

    Neraka sebenarnya tiada Cuma ada pada istilah saja begitu jugalah syaitan ,syurga, loh mahfuz, arasy dan sebagainya kesemuanya ujud dalam istilah saja tiada hakikatnya.

v.

    dan lain-lain I'tiqad yang seumpama dengannya.

Kesemua di atas tadi adalah contoh-contoh I'tiqad yang sesat lagi menyesatkan yang tiada boleh di pegang dalam menjalani jalan tariqat .(boleh rujuk Risalah Tasawuf Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal sebagai panduan berhubung dengan I'tiqad yang sesat bagi yang nak bersufi).

b.

    Tertipu di alam malakut yakni alam keruhanian

Bilamana tiada punya ilmu yang cukup terutama Ilmu Usuluddin (tak terkecuali Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf sekurang-kurangnya kadar fardhu ‘ain) maka syaitan dan jin (makhluk halus) akan mudah memperdayakan dan dah banyak terjadi. Apabila seseorang berada di alam ini segala macam tipudaya berkumpul di sini. Pokok persoalannya tipudaya di alam ini ialah untuk merosakkan niat dan I'tiqad bagi orang yang menempuh di alam ini. Sebab itu di samping ilmu yang mencukupi, bimbingan Syeikh Mursyid yang kamil mukamil amat penting di sini. Di alam malakut ini seseorang akan di buka sesuatu yang ajaib, indah (di sisi alam rendah) tapi penuh prasangka dan apabila prasangka sudah terkena maka title diri pun menjelmalah.

Mulalah dah mengaku sultanul Auliya, Wali Quthub, Wali abdal, Ghaus tak kurang juga versi nusantara panglima hitam, Panglima Berantai, Hang Tuah, Tuk janggut, Daeng Prani, Daeng Selili dan macam-macam lagi yang kadangkala menakutkan menggayatkan orang yang mendengarnya mungkin juga tak lama lagi timbul pulak Osama Ben Laden di alam malakut. Dijauhkan kita oleh Allah Ta'ala akan terkena sangkaan dan di lindungnya di atas jalan syariatNya.

Ada juga yang percaya pada tanasukh iaini ruh wali menyelinap ke dalam tubuhnya ini juga suatu bahaya yang merosakkan iman dan Tauhid kita kepada Allah Ta'ala. Manakala kalau fasal mimpi saja bagi yang menempuh alam ini bertambun banyak asyik-asyik mimpi , kadangkala dah kerana terlalu ta'asub dengan mimpi semua kerja buat dan usahanya pasti tunggu mimpi kerana di sangka mimpi tu ilham.

Alam ini juga selalu terjadinya kasyaf kauni iaini tersingkap baginya rahsia sesuatu benda (taraf keduniaan) atau apa saja pandangan yang di nisbah kepada bathin termasuk dalam hal perubatan, menilik (scan), nampak atau berfirasat akan hati atau sifat orang lain yang kesemuanya ini masih bukan tujuan tariqat yang sebenar dan bilamana seseorang terhenti pada hal-hal ini maka syaitan telah berjaya memesongkan tujuan dan niatnya dan akhirnya segala macam keupayaan zikir-zikir atau wirid-wirid atau muraqabahnya dapat di gunakan secara halus atas maslahat diri (keduniaan) cuma versinya saja bertukar atau datang di bisik akan hati kecil bahawa aku sudah kasyaf, aku sudah boleh scan hati orang, aku sudah boleh bantu orang lain jadi mungkin Allah dah lantik aku menjadi waliNya sebab semua permintaan aku sudah dimakbul Allah. Maka ujub pun datang menyelinap dalam hati kecil kita tanpa disedari habis segala amalan kita hancur sehancurnya. Mohon kepada Allah Ta'ala akan taufiq dan hidayahNya. Mengapa kita suka pada title atau suka membuat pengakuan? Lihat bagaimana sikap baginda Rasulullah s.a.w. bila dalam satu riwayat bahawa Allah Ta'ala bertanya kepada semua Ulul Azmi:

Wahai Nuh siapa kamu? Aku najiyallah (yang di lepaskan oleh Allah), Wahai musa siapa kamu? Aku kalamullah. Wahai Isa siapa kamu? Aku ruhullah (Yang dimasukkan ruh oleh Allah ke dalam perut Siti Mariam tanpa bapa) Wahai Ibrahim siapa kamu? Aku Khalilullah (Teman bagi Allah) dan bila di tanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. Wahai Muhammad siapa kamu ? maka jawab baginda s.a.w. Ana yatim ( aku anak yatim tiada ibu dan ayah).

Baginda seorang nabi yang paling tinggi mertabatnya dan tiada yang paling atas mertabatnya di sisi Allah Ta'ala melainkan hanya baginda seorang tapi terlalu merendah diri jauh dari inginkan sebarang gelaran tapi kita baru boleh berzikir sikit baru boleh solat sunnat terbuka di alam malakut saja dah terkejut dan terus mabuk dengan pengakuan demi pengakuan. Itu tandanya syaitan dah tipu kita supaya kita leka dengan sanjungan orang ,suka dengar pujian orang itulah suma'ah namanya iaini penyakit hati yang menyerang kita tanpa kita ketahui akibat cuai belajar ilmu tasawuf dan usuluddin.

Mudah saja kalau kita nak ukur diri kita sendiri caranya ialah bilamana kalau orang puji kita atau orang sayang kita atau orang angkat kita apa agaknya rasa hati kecil kita ? rasa syok dak, rasa bangga ke, rasa lega ke kalau ada berdegup rasa-rasa ini itu tanda jangan harap kita boleh terselamat di alam malakut ni kerana pengaruh dunia dan maslahat diri masih menebal atau menyorok di dalam sanubari kita. Sebab itu niat dan Tauhid mesti tepat , padu dan murni samada ilmunya , amalnya ataupun halnya.

Suatu masalah.
Nanti ada yang berhujjah pulak mengapa Syeikh Abdul Qadir Al Jilani mengaku dia nya sultanul Auliya dan kewaliannya amat tinggi sehingga dikatakan leher para wali di bawah kakinya? Soal Syeikh Abdul Qadir Jilani itu soal lain dan ada cerita lain dan tak boleh di anggap takabur. Soalnya apakah kita ni dah sama taraf dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani ke ?

Bagaimana ibadatnya, ilmu nya samada muamalahnya mahupun mukasyafahnya, mujahadahnya, wara'nya ukur lah dulu baru boleh pasti! Yang dirisaukan disini air kaki Syeikh Abdul qadir jilani pun belum sama taraf dengan kita lagi apatah lagi nak di ukur dengan ilmunya, amalnya dan sebagainya.(maaf bahasa agak kesat) Maka berpijaklah bumi yang nyata. Akuilah kelemahan dan kedhaifan kita itu lebih baik untuk kita dari kita daripada mengaku benda yang kita sendiri tiada di beri ilmu tentangnya.

Ingatlah segala maqam yang di kejar, title, ilmu kiramah ibadat kita masih belum ada jaminan kita selamat di sisi Allah Ta'ala sedangkan Allah hanya menjamin orang yang benar-benar ikhlas terhadapNya. Dan sesungguhnya ikhlas itu rahsia Allah Ta'ala dan segala ibadat yang diterima Allah Ta'ala di akhirat nanti hanyalah ibadat yang ikhlas maka siapakah boleh mendakwa di sini (di dunia ini) bahawa dia sudah ikhlas? Sebab itulah orang yang mengaku itu dan ini seolah-olah telah ketahui amalannya sudah makbul apa benarkah dia? Gunakanlah aqal dan timbangan syara' supaya kita tidak ta'asub buta ! Wallahu'alam.

Masalah kedua.
Timbul pula satu dakwaan bahawa berkawan dengan makhluk halus iaini jin atau khadam atau muakal ayat adalah satu kiramah juga. Ini adalah merupakan suatu ‘gejala' atau tipudaya di alam malakut ini akibat daripada tak menguasai ilmu Usuluddin (darihal bab perkara-perkara yang menyalahi adat).

Bukannya semua di alam malakut ini boleh kita terima sewenang-wenangnya. Memang ada pendapat ulama berpendapat bersahabat dengan jin itu hukumnya harus TETAPI ada syarat-syaratnya dan bagi murid yang hendak dan sedang berjalan menuju makrifat dengan sebenar-benar makrifat kepada Allah Ta'ala maka HARAM dia bersahabat dengan jin walau apa jenis jin pun (walau kembarnya sekalipun) bahkan layan pun tak boleh kerana jin itu sendiri ada jazbahnya(tarikan) yang tersendiri yang mana jazbahnya itu amat bertentangan sekali dengan jazbah fillah (untuk makluman lanjut sila baca Buku Mengenal Diri dan Wali Allah karangan Ustaz Mustapha al Jiasi anak murid Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal Syeikh Mursyid Tariqat Ahmadiah dalam bab Keramat Khadam).

Ada juga yang berpendapat bahawa bersahabat dengan makhluk halus itu adalah suatu kiramah atau anugerah dari Allah. Pendapat ini tidak benar kata Syeikh Abdul Wahab Asy Sya'roni di dalam kitab Yawaqitu wal Jawahir yang dinukil dari kitab Tuhfatur Raghibin :

"Bahawa bersahabat dan bersekedudukan dengan jin itu sangat keji. Barangsiapa memilih dan melebihkan sekedudukan dengan jin daripada sekedudukan dengan ulama maka orang itu sangat jahil. Kerana yang ghalib atas jin itu adalah perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua seperti kelakuan manusia yang fasiq. maka orang yang beraqal berlari ia daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan dia (jin) seperti liar ia bersahabat dengan orang fasiq".

Dan kata Syeikh Mahyuddin Ibnu Arabi dalam kitab Al Futuhat yang faqir nukil dari kitab Tuhfatur Raghibin iaitu :

"Adalah orang yang sekedudukan dengan jin itu tiada beroleh ilmu akan Allah kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat Nya".

Dan di jelaskan lagi oleh kitab yang sama (Tuhfatur Raghibin) :

"Dan terkadang menyangka oleh yang sekedudukan dengan dia (jin) itu bahawa segala perkara yang dikhabarkan oleh jin daripada barang yang berlaku di dalam alam itu adalah karamah daripada Allah Ta'ala baginya. Maka sangkanya itu adalah bathil. Dan hanya adalah yang kesudahan jin kepada manusia itu bahawa diberitahu akan segala khasiat segala tumbuh-tumbuhan, dan khasiat batu dan kahsiat isim dan huruf maka iaitu dibilangkan daripada Ilmu Kimiya jua iaitu ilmu yang di cela syara' ".

Ini menunjukkan dakwaan bersahabat atau bersekedudukan dengan jin (makhluk halus) sebagai karamah adalah suatu kesilapan besar! Sudahlah menjadi hijab dalam perjalanan makrifat kemudian di ajar pula ilmu-ilmu yang menyebabkan kita akan bertambah jauh dari Allah Ta'ala. Adakah ilmu ini (ilmu yang di ajar oleh jin atau makhluk halus) di panggil laduni, waridat, ilham atau mukasyafah? Pohon kita kepada Allah Ta'ala mudah-mudahan di simpangkan dari fahaman ini.!

Sebab itu biar kita di pimpin oleh Syeikh Mursyid yang arif lagi alim benar (alim syariat dan alim haqiqat) atau istilah lain ‘tahu benar' barang yang haq dan bathil darihal alam malakut ini.

Ada juga mengkiaskan bagaimana Nabi Sulaiman a.s. boleh bersahabat dengan jin mengapa kita tak boleh? Ini adalah kias yang tidak kena pada tempatnya. Jangan samakan mukjizat dengan diri kita yang penuh dengan noda dan dosa. Itu adalah suatu kesilapan yang amat besar !

Para ambiya adalah ma'sum dan mereka di kurniakan mukjizat dengan bermacam-macam yang hanya Allah Ta'ala saja Yang Maha Mengetahui akan hikmahnya. Memadailah kita mengikut akan barang yang nyata dalam syariatNya jangan cuba untuk menyeluk lebih jauh tanpa bimbingan guru yang aribillah.

Jangan taasub dengan mazhab tariqat sahaja.

Di antara gejala ‘sempit fikiran' dan perkara yang di larang ialah ta'asub pada wasilah atau mazhab tariqat. Pengertian taasub pada wasilah ialah bermaksud kasihnya terhadap tariqatnya sehingga membawa cedera pada Tauhid dan ubudiyyahnya. Sehingga ada yang mendakwa bahawa hanya tariqatnya saja yang paling top, paling hampir, paling berkesan bahkan di dakwanya tariqat merekalah yang paling suci dan tiada tariqat yang paling hebat kecuali tariqatnya saja.

Inilah akibatnya apabila penguasaan ilmu di abaikan sewaktu sebelum bertariqat atau mengabaikan proses menuntut ilmu dikala sesudah bertariqat. Pemahaman kepada mazhab jamaah tariqat yang sempit menyebabkan fitnah akan merobek di dalam perjalanan kita.

Kembalilah kepada asas ilmu Tasawuf yang menuntut kepada tawadhu' dan kerendahan diri yang benar. Jangan adakalanya kita sebagai yang menjalani ilmu tariqat itu di satu masa terlalu merendah diri tetapi di satu masa pula terlalu taasub dan meninggi diri seolah-olah orang lain seperti ‘katak keredek' yang tiada dapat apa-apa habuan rahmat Allah Ta'ala.

Janganlah kita anggap kasyaf yang ada pada kita (kononnya) sudah menyebabkan kita memandang rendah pada orang yang tiada bertariqat atau golongan awam kerana ketahuilah kasyaf yang semacam itulah yang akan membawa kita kepada bahaya ujub dan penyakit terkena sangka yang bathil. Apa yang di ajar bahawa sifat orang kasyaf ini amat tawadhu lagi begitu menyembunyikan pandangan kasyafnya. Tidak di hebahkannya bahkan lagi tersingkap kasyaf maka lagi jahil dia sabit tenggelam dalam Kebesaran Allah Ta'ala.

Secara lazimnya ahli tariqat yang sempit fikiran dan ditimpa ta'asub buta merasakan kasyaf yang didapatnya itu sudah sampai pada kemuncaknya dan yang paling malang sekali di yakinkan bahawa kasyaf itu melebihi dari usul kaum sufi iaitu Al Quraan dan Sunnah.

Sehingga ada puak yang melampau dalam dapatan ruhani mereka sehinggakan seolah-olah mereka sudah sampai sebagaimana yang Rasulullah s.a.w. sampai. Alangkah malangnya dipohon lindung daripada Allah Ta'ala akan puak ini.

Sebenarnya ketahuilah bahawa Tariqat secara umumnya ialah jalan mengenal Allah Ta'ala atau jalan menuju kepada kehampiran(qurb) kepadaNya dengan mendapat redha dan kasihNya. Adapun Ulama sufi menjelaskan bahawa jalan menuju kepada Allah Ta'ala itu terlalu banyak dan ada yang mengibaratkan sebanyak bilangan nafas makhluk. Ini bermakna terlalu banyak dan tiada di hinggakan! Bayangkan betapa banyaknya jalan yang menyampai kepadaNya. Dan ada ulama mengatakan seumpama sebanyak jari jejari yang menghubung kepada satu titik pusat dan ini bermakna terlalu banyak tariq atau cara yang menyampai kepadaNya. Dan ada orang yang Allah Ta'ala sampaikan ke hadratNya tanpa melalui jalan mazhab tariqat (yang khusus) iaini tanpa syeikh. Mungkin saudara akan terkejut ! Memang benar. Sebab itu dikata ilmu Allah Ta'ala Maha Luas bukan seluas fikiran kepala kita jadi jangan ta'asub buta pada wasilah!

Ini dinyatakan di dalam kitab Ad Durun Nafis yang Di karang oleh Syeikh Muhammad Nafis Bin Idris Al Banjari :

"Syahdan maqam inilah (iaini maqam Wahdatul af'al) yang mula-mula ia anugerahkan Allah Ta'ala kepada orang yang salik (yang belajar setingkat demi setingkat di bawah pengawasan Mursyid) atau kepada orang yang lainnya iaitu seperti orang yang majzub umpamanya dan erti orang yang majzub itu di ambil Allah Ta'ala dengan terkejut serta dirinya tahu akan mengenal ZatNya dan SifatNya dan asmaNya dan af'alNya daripada tiada mengerjakan ibadat dan tiada talqin daripada guru dan tiada ijazah masya'ih."

Ini bermakna harus bagi Allah Ta'ala memilih sesiapa yang dikehendakiNya untuk di perkenalkan DiriNya dengan jalan majzub atas sifat Kehendak dan Pemurah dan PengasihNya. Sepertimana Firman Allah Ta'ala:

"Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki dan memberi hidayah siapa yang dikehendaki".

Inilah yang dinamai sebagai ‘Kurnia' iaitu sesuatu yang di dapat bukan dengan jalan ikhtiar tetapi atas kehendak dan pilihan Allah Ta'ala sendiri. Manakala jalan usaha untuk menujunya iaitu dengan ibadat amal dan bimbingan Guru di namai akan ‘anugerah' Allah Ta'ala atas ikhtiarnya di dalam taat. Cumanya orang yang majzub itu khusus dan bukan umum dan bukan sunnah untuk di ikut secara lazim (biasa). Dan akhirnya orang yang majzub itu sendiri akan kembali menjadi salik.

Fahamilah ini betapa luasnya rahmat Allah Ta'ala dan apa yang penting supaya kita belajar dan terus belajar supaya tidak menjadi sempit fikiran dan dijauhkan Allah Ta'ala dari menjadi orang yang ta'asub buta.

Wallahu'alam.

sumber : fakir amal

Posted on Monday, August 16, 2010 by Qalam Sufi

No comments